SEREMBAN: Momentum keputusan semasa beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini diyakini dapat diteruskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengundi sehubungan itu diharapkan dapat sekali lagi menterjemahkan undi mereka dengan memilih BN dengan kali ini di peringkat pilihan raya umum pula.

“Saya yakin apa yang ada dalam fikiran mereka sudah diterjemahkan dalam PRK-PRK dan PRN-PRN lalu dan mereka menunggu pilihan raya umum untuk mereka terjemahkan pula di peringkat kebangsaan.

“Saya harap ini akan dapat berlaku dan dapat dilakukan pengundi kerana kita tidak boleh memperjudikan masa depan kita, memberi sebuah kerajaan yang tidak mantap, kerajaan campuran yang mempunyai lima enam parti dalamnya yang masing-masing mempunyai agenda masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Rembau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama masyarakat di Kampung Paroi di sini hari ini.

Tambah Mohamad, negara mesti diurus dengan baik dan mempunyai kerajaan yang mantap seperti mana ketika BN mempunyai majoriti dua pertiga daripada pilihan raya umum pertama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Itu formula mengapa negara boleh diurus dengan baik dan dibangunkan dengan begitu cepat sehingga dicemburui oleh masyarakat antarabangsa yang lain,” tambahnya.-UTUSAN.

The post PRU15: BN yakin momentum kemenangan PRK, PRN diteruskan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *