MARAN: Keputusan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib bertanding di Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini atas tiket Perikatan Nasional (PN) bukan disebabkan merajuk tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya penyandang Ahli Parlimen Maran itu berkata, keputusan drastik itu dipengaruhi senario politik semasa yang memerlukannya bertindak pantas memenuhi peluang yang ada demi survival untuk berbakti kepada rakyat di kawasan tersebut.

“Setakat ini saya hanya memberi fokus untuk terus mengekalkan kerusi ini yang atas tiket PN.

“Keputusan untuk bertanding disebabkan hasrat untuk menyambung khidmat kepada pengundi Maran,” katanya kepada pemberita selepas program Karnival Memperkasa Ekonomi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Daerah Maran di Dewan Arena Tengku Muda Pahang di sini malam ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran atas tiket PN.

Barisan Nasional (BN) mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Maran pada PRU15, 19 November ini.

Ismail menjadi Ahli Parlimen Maran selama empat penggal bermula 2004 dan dalam tsunami politik PRU-14 lalu beliau menang kerusi Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 undi.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau yakin masih mendapat sokongan pengundi di Maran yang tahu tentang khidmat dilakukannya di situ walaupun bertanding atas tiket PN.

Sementara itu, Fazil Azmi Nadzri dari Pas yang sebelum ini diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Maran tidak mempunyai masalah untuk memberikan laluan kepada Ismail.

“Saya patuh dengan arahan yang dikeluarkan parti (Pas) dan kami memang diajar untuk patuh segala yang diarahkan,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Bukan sebab merajuk tanding Maran tiket PN – Ismail appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *