JERANTUT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Muhamad Fasal Jamlus berkata, hanya BN  yang dapat membela semua kaum atau etnik di negara serta mengotakan setiap janjinya kepada rakyat.

Kata beliau, BN sejak dari dulu lagi tidak pernah meminggirkan kaum-kaum minoriti sama ada dari segi pendidikan, kebajikan, kemudahan awam dan banyak lagi.

Ekoran itu, katanya, rakyat tanpa sedar harus akui bahawa atas dasar pembelaan BN itulah menyebabkan rakyat berbilang kaum bukan sahaja dapat hidup aman damai, malah meraikan perayaan agama masing-masing tanpa halangan.

“Rakyat yang berbilang bangsa di negara ini mahu tidak mahu perlulah akui bahawa BN sejak dari dulu lagi telah membela semua kaum dan etnik dari segi pendidikan, kemudahan awam dan sebagainya.

“Kita tidak pernah pinggirkan kaum minoriti. Tanpa kita sedar selama ini kita hidup aman damai dalam negara ini,” katanya.

Muhamad Fasal berkata demikian ketika berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Muhibbah di dalam DUN Damak di sini.

Kampung Muhibbah yang dihuni lebih 40 keluarga didiami pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Cina.

Muhamad Fasal berkata, kempen PRU 15 beliau di DUN Damak sentiasa mengutarakan pembelaan kepada semua kaum dan menjanjikan tiada kaum yang tercicir atau terpinggir.

“Dasar BN sejak azali ialah membela semua kaum. Langkah ini membawa kepada keharmonian,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Fasal berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk menyatuni masyarat India yang majoritinya tinggal di Kampung Muhibbah.

“Saya sendiri mempunyai kawan-kawan yang tinggal serta membesar di Kampung Muhibbah.

“Begitu juga dengan masyarakat Cina yang tinggal di bandar Jerantut, saya sering memenuhi jemputan mereka,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Calon Barisan Nasional Damak janji bela semua kaum appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *