KLANG: Calon Bebas, Hedrhin Ramli optimis sokongan padu anak muda mampu memberi kemenangan kepada beliau dalam pertembungan tujuh penjuru di kerusi Parlimen Klang.

Anak jati Pandamaran itu berkata, perkara berkenaan dapat dilihat menerusi tempoh seminggu kempen pihaknya setakat ini.

“Saya mendapati anak muda kini masih kurang kepercayaan kepada kepartian dan memilih kepada faktor calon.

“Justeru, ia menjadi kelebihan kepada saya yang menggunakan platform bebas dan berupaya memenangi kerusi ini,” katanya ketika meninjau Kampung Orang Asli Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini, petang tadi.

Jelas Hedrhin, perpaduan antara kaum, kebajikan dan pembangunan ekonomi setempat menjadi fokus utama sekiranya diberi mandat sebagai ahli Parlimen kelak.

“Saya sudah bergerak aktif selama tiga tahun bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.

“Apa yang paling penting adalah penyatuan dan tiada pengasingan manfaat bagi semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, manifesto tanda pagar #KlangSatuHati pihaknya turut menumpukan kepada isu banjir yang kerap berlaku di Kampung Telok Gong dan Pulau Indah. 

Perebutan kerusi Parlimen Klang itu menyaksikan pertembungan tujuh penjuru yang melibatkan lima calon parti politik dan dua Bebas.

Calon parti bertanding iaitu Tee Hooi Ling mewakili Barisan Nasional (BN), V. Ganabatirau (PH), P. Jaya Chandran (PN), Loo Cheng Wee (Warisan) dan S. Chandrasegar (PRM).

Selain Hedrhin, kerusi itu disaingi calon Bebas, Deepak Jaikishan Jaikishan Rewachand. –UTUSAN

The post PRU15: Calon Bebas raih sokongan padu  anak muda di Klang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *