GEORGE TOWN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Bukit Bendera, H’ng Chee Wey mempertaruhkan pengalamannya selama 24 tahun sebagai pemimpin masyarakat di kawasan itu dalam menarik keyakinan pengundi.

Beliau yang juga Setiausaha Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang berkata, penduduk di kawasan itu juga sudah mengenalinya dan tahu bagaimana caranya bekerja meskipun bukan sebagai wakil rakyat sebenar sebelum ini.

Malah katanya, sebagai anak jati di kawasan itu, beliau juga lebih memahami berkenaan isu-isu dan masalah yang dihadapi penduduk di situ dan sentiasa memastikan perkara tersebut dibawa kepada pihak berwajib untuk diselesaikan.

“Saya sudah lama bekerja dan berkhidmat di kawasan ini, jadi tidak ada masalah untuk saya turun bertemu penduduk dan bertanyakan masalah mereka kerana sememangnya itu juga yang sering saya lakukan sejak 24 tahun lalu ketika mula aktif sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai cabaran bertanding atas tiket dan menggunakan logo PN, Chee Wey berkata, perkara itu bukan lagi masalah besar memandangkan kebanyakan penduduk kini sudah mula mengenali dan menerima PN.

Bagaimanapun, beliau mengakui jenteranya perlu bekerja keras untuk menerangkan situasi itu kepada pengundi warga emas kerana kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan logo Gerakan.

Ditanya berkenaan cabaran dalam PRU15 ini lebih-lebih perlu bersaing di kubu kuat DAP, Chee Wey berkata, beliau yakin peluang untuk semua calon bertanding memenangi kerusi itu tetap ada serta terbuka dan pengundi akan memilih calon serta parti yang diyakini mampu membela nasib mereka.

Chee Wey akan berdepan saingan lima penjuru di kerusi itu termasuk dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP iaitu Syerleena Abdul Rashid; Richie Huan Xin Yun (BN); Teh Yee Cheu (PRM) dan cLon Bebas, Razalif Mohd. Zain.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi calon PH daripada DAP, Wong Hon Wai dengan majoriti 40,731 undi. – UTUSAN

The post PRU15: Calon PN Bukit Bendera pertaruh pengalaman 24 tahun sebagai pemimpin masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *