NIBONG TEBAL: “Bukan sahaja akan teruskan apa yang pernah dilakukan oleh Allahyarham ‘Tok Non’ (Datuk Seri Zainal Abidin Osman), malah saya akan buat lebih daripada itu demi kemakmuran rakyat Nibong Tebal.”

Itu janji calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri RS Thanenthiran mengenai usaha yang akan dilakukan di kawasan berkenaan jika beliau dipilih rakyat sebagai ahli Parlimen Nibong Tebal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Thanenthiran, 59, yang juga Presiden Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berkata, ketika Allahyarham menyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal pada 2004 selama satu penggal, impian untuk membina sebuah terminal bas di kawasan tersebut tidak kesampaian.

Sehuhungan itu jelas beliau, inisiatif tersebut akan diteruskan jika beliau berjaya merampas kembali kerusi yang pernah disandang Datuk Mansor Othman (PN-Bersatu) yang ketika itu menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal.

“Ini adalah impian arwah ‘Tok Non’ dahulu. Allahyarham telah berjanji hendak wujudkan sebuah terminal bas yang dilengkapi pelbagai kemudahan, namun tidak kesampaian.

“Jika kemenangan berpihak kepada BN, saya akan wujudkan sebuah terminal bas yang mempunyai kaunter tiket, medan selera, tempat riadah dan kemudahan lain untuk dimanfaatkan oleh penduduk Nibong Tebal dalam tempoh lima tahun nanti,” katanya.

Tambah beliau, jika inisiatif tersebut mampu direalisasikan, maka peluang pekerjaan dapat diwujudkan seterusnya mampu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Nibong Tebal yang disifatkannya sebagai kawasan yang mundur dari segi kemudahan berbanding bandar-bandar lain di Pulau Pinang.

Sementara itu, Thanenthiran berkata, beliau juga akan menjalin kerjasama erat dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dalam usaha mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

“Sekurang-kurangnya 2,000 unit rumah dalam masa lima tahun akan datang akan dibina jika saya menjadi Ahli Parlimen di sini.

“Ini bukan janji kosong, sebaliknya ini yang akan dilaksanakan kelak jika diberi peluang (menjadi Ahli Parlimen) demi kesejahteraan penduduk Nibong Tebal khususnya,” katanya sambil memberi jaminan akan menetap di Nibong Tebal jika menang kerusi Parlimen tersebut kelak.

Thanenthiran akan merebut kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru dengan tiga lagi calon iaitu bekas penyandang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Mansor Othman (Bersatu); Fadhlina Sidek (PKR) daripada Pakatan Harapan (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 dan 331 undi. – UTUSAN

The post PRU15: ‘Cikgu Thanen’ mahu teruskan legasi arwah ‘Tok Non’ di Nibong Tebal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *