KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan satu kesilapan.

Bendahari Agungnya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, tindakan Menteri Besar Selangor itu menyalahkan pembubaran Parlimen ketika  banjir dianggap tidak wajar.

Jelas beliau, Amirudin perlu sedar kerana dia menjadi antara pemimpin awal dicalonkan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH).

“Apabila kita bubar Parlimen, alih-alih beliau (Amirudin) yang dicalonkan paling awal untuk bertanding.

“Saya tengok dalam masa beberapa hari (pembubaran), bendera juga sudah siap dibeli hanya (tinggal) untuk dipasang,” katanya pada sidang akhbar di Balai Raya Kampung Bestari Jaya, Bestari Jaya di sini, petang tadi.

Terdahulu, beliau bersama Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra dengan penduduk pada Karnival Sukan Bola Sepak bersama masyarakat India di Padang Bestari Jaya.

Kelmarin, media melaporkan Amirudin menyifatkan pembubaran Parlimen ketika musim banjir bagi mengadakan PRU15 satu kesilapan.

Kata beliau, bencana yang berlaku menyebabkan mangsa dan pegawai daerah yang terlibat dalam pilihan raya terganggu.

Jelas Hishamuddin, BN tidak perlu menghiraukan sebarang kenyataan dikeluarkan pembangkang dan kekal fokus memenangi PRU15.

“Kita sudah pun membubarkan Parlimen dan jangan lagi menoleh ke belakang.

“Malah, calon juga kita sudah kenal dan hanya tinggal beberapa hari untuk kita mengundi,” ujarnya.

Tambah Menteri Pertahanan itu, rakyat sudah memahami cara kempen PH pada peringkat PRU14 dengan menanamkan kebencian.

“Peluang telah diberikan namun 22 bulan memerintah sebelum ini tidak memberikan sebarang makna.

“Isu PRU15 pasal banjir, undi tentera dan undi pos juga dipolitikkan. Dia sama dia pun (pemimpin PH) tidak bersefahaman,” katanya. –UTUSAN

The post PRU15 dalam musim banjir bukan satu kesilapan -Hishamuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *