PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani fokus menyelesaikan empat ma­salah yang membarah lama di kawa­san berkenaan jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Selepas lima tahun hanya ber­khidmat di sebalik tabir, Johari yang merupakan anak jati Kuala Lumpur berkata, sudah tiba masanya beliau menyelesaikan empat masalah yang gagal dise­lesaikan oleh wakil rakyat terdahulu iaitu Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang menang pada 2018.

Johari berkata, empat masalah berkenaan ialah pembangunan semula rumah pangsa Perbada­nan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru, rumah pangsa PKNS di Jalan Pekeliling, pasar di Jalan Raja Bot, Chow Kit dan pasar di Kampung Datuk Keramat.

“Kita perlukan pe­mimpin di kawasan untuk tangani isu ini dan bawa kepada pihak ber­kuasa dan selesaikannya,” ka­ta­nya seperti yang dilaporkan (FMT).

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau juga mahu menyelesaikan secara baik pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang tertangguh sebelum ini.

Katanya, seramai 89 peratus pen­duduk yang memilih memberi laluan kepada pemba­ngunan semula berharap dapat pulang ke rumah baharu yang selesa.

“Namun, disebabkan pelbagai isu, kerja-kerja pembinaan rumah pangsa baharu belum bermula, hampir lima tahun kemudian.

“Ini memerlukan pemimpin yang betul-betul komited untuk bincang dan selesaikan masalah. Mesti ada iltizam politik. Bila kita hendak selesaikan masalah, kita mesti guna pendekatan ‘menang-menang’.

“Rakyat pun menang kerana daripada duduk satu rumah flat dengan satu bilik air dan satu bilik tidur, akhirnya dapat tiga bilik tidur dan dua bilik air. Saiznya 850 kaki persegi atau 900 kaki persegi.

“Saya mesti kaji semua hal ini kerana semua isu ini berlaku ketika empat tahun enam bulan semasa saya bukan lagi wakil rakyat,” katanya yang turut kecewa apabila Rina meninggalkan Titiwangsa tanpa menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu katanya, projek pembangunan semula rumah pangsa PKNS di Jalan Pekeliling, sudah 14 tahun belum selesai selain proses membina semula Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit juga sudah terbiar 10 tahun lalu.

“Kita mesti memastikan bahawa kontraktor-kontraktor yang dilantik membangunkan pasar ini mestilah berwibawa, boleh siapkan kerja mereka dalam masa ditetapkan,” katanya.

Mengenai pembinaan semula Pasar Kampung Datuk Keramat, Johari berkata, pembinaan tergen­dala ekoran pertikaian antara pe­maju dan pemilik tanah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kelewatan memberi masalah besar kepada peniaga, yang berharap pasar baharu itu akan menarik lebih banyak jualan dan keuntungan,” katanya yang juga Ketua UMNO Wilayah Persekutuan.

Mengimbau lima tahun pertama menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dari 2013-2018, Johari berkata, beliau berjaya mengusahakan pem­binaan Pintasan Saloma yang membolehkan warga Kampung Ba­ru ke KLCC dengan mudah. – UTUSAN

The post PRU15: Empat fokus utama Johari di Titiwangsa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *