KOTA BHARU: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Kelantan sedia meletakan calon sekiranya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya Gerakan negeri, Ong Khang Woon berkata, mereka mempunyai calon berkelayakan dan boleh diterima oleh masyarakat di DUN.

Menurutnya, bagaimanapun parti itu tetap akur dengan apa sahaja keputusan daripada pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun tidak diberi peluang untuk bertanding pada PRU15 nanti, mereka tetap akan memberikan sepenuh komitmen kerana apa yang lebih penting adalah kemenangan PN di Kelantan.

“Hasrat memang ada, tambahan kami belum pernah bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini. Malah, sejak bersama Barisan Nasional (BN) dulu lagi, kami sering meminta ‘laluan’ untuk bertanding di DUN Kota Lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khang Woon memberitahu, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan lebih realistik dan terbuka serta akan membuat keputusan berdasarkan kajian dijalankan.

Katanya, kerana itu walaupun diberikan kerusi atas dasar konsensus parti itu tetap akan memberikan laluan sekiranya dirasakan Pas dan Bersatu lebih kuat serta mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

“Motif utama Gerakan adalah menumbangkan BN dan memastikan PN benar-benar kuat di Kelantan. Dengan gerak kerja berpasukan yang kukuh serta perancangan dan strategi yang baik ia boleh direalisasikan.

“Untuk PRU15 kami cuma berharap diberikan peranan sewajarnya untuk memperkukuhkan PN dari segenap segi. Tambahan dengan adanya undi 18 tahun, kita perlu mendidik para pengundi muda agar lebih matang serta menolak rasuah dan kleptokrasi,” ujarnya.

Gerakan mempunyai lebih kurang 4,000 ahli yang aktif parti itu akan gunakan kekuatan tersebut sedaya mungkin untuk memastikan kemenangan PN di negeri ini. –UTUSAN

The post PRU15: Gerakan sedia letak calon jika diberi peluang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *