MARAN: Penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib difahamkan dirisik oleh parti politik lain selepas Barisan Nasional (BN) dikatakan tidak mencalonkan namanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Difahamkan sebuah parti Melayu menawarkan Ismail untuk mewakili mereka sama ada di Parlimen Maran atau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit, atau Chenor.

Bagaimanapun difahamkan masih tiada apa-apa keputusan yang dibuat Ismail yang dilihat masih menunggu pengumuman calon BN, malam ini.

Sementara itu Ismail yang ditemui tidak mahu mengulas lanjut desas-desus nama beliau digugurkan sebaliknya menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh BN malam ini.

“Benda ini belum pasti, pengumuman belum dibuat, saya tidak boleh cakap apa-apa, masa isytihar nanti kita tahu,” jelasnya di sini hari ini.

Difahamkan, Ketua UMNO Bahagian Maran yang juga penyandang kerusi DUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin turut ‘merebut’ kerusi Parlimen Maran.

Pada PRU14 lalu, Ismail menang dengan majoriti 3,763 undi apabila mendapat 16,064 undi menewaskan calon Pas, Hasenan Haron yang mendapat 12,301 undi dan calon PKR, Ahmad Farid Ahmad Nordin yang memperoleh 4,360 undi. – UTUSAN

The post PRU15: Ismail dirisik parti lain? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *