PEKAN: Isu berkaitan pengosongan kerusi Parlimen Pekan jika penyandangnya, Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan tidak perlu dibangkitkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali ketika diminta mengulas isu tersebut berkata, perkara itu tidak menjadi halangan baginya meneruskan amanah sebagai pengganti calon terdahulu.

Menurutnya, ketika ini fokus utama adalah gerak kerja dalam memastikan BN menang majoriti besar.

“Soal mengosongkan kerusi Parlimen Pekan buat sementara ini masih belum timbul, apa yang penting adalah amanah perlu dilaksanakan.

“Jadi yang (perkara) lain itu, saya fikir kurang penting untuk kita bicarakan, apa yang penting sekarang ini adalah hendak menang pada PRU15. 

“Kita hendak perjuangan nasib rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Peramu Jaya di sini hari ini. 

Sh Mohmed Puzi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya selama dua penggal berkata, perkara lebih utama adalah berkaitan mandat yang diberikan.

Katanya, amanah rakyat adalah lebih penting pada pilihan raya kali ini.

“Prinsip saya mudah, apabila diberikan mandat, saya akan menjalankan amanah tersebut dengan cara terbaik. Jadi apa yang penting sekarang, saya tidak perlu memikirkan perkara lain, selain berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, kata beliau lagi, segala keputusan berhubung senarai pemilihan calon adalah diputuskan pucuk pimpinan BN.

Jelasnya, seperti mana perubahan yang berlaku berikutan anak sulung Najib, Datuk Mohd. Nizar yang sepatutnya menjadi calon kerusi Parlimen Pekan namun ditukarkan ke kerusi Peramu Jaya adalah perubahan dilakukan pucuk pimpinan.

“Pucuk pimpinan memilih saya bukan kerana istimewa dan terbaik tetapi kerana saya pernah berkhidmat di Pekan,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Isu kosongkan kerusi Parlimen Pekan tidak perlu timbul appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *