PETALING JAYA: Hari Pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa kawasan dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor.

Jabatan Meteorologi memaklumkan, antara negeri berkenaan adalah Selangor (Hulu Langat), Negeri Sembilan, Melaka, Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) dan Sabah (Nabawan, Tawau, Kunak dan Lahad Datu dan Sandakan, Tongod) sehingga pukul 9 pagi.

Menurut jabatan itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam manakala amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Sebanyak 21,173,638 rakyat Malaysia mengundi hari ini dalam PRU15 bagi menentukan parti atau gabungan yang mendapat mandat membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Kempen PRU15 yang bermula pada 5 November berakhir tengah malam tadi dengan hari ini ditetapkan hari pengundian di seluruh negara.

PRU15 diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Oktober lalu. 

Selain memilih 222 ahli Parlimen, PRU15, pilihan raya kali ini turut  membabitkan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang. – UTUSAN

The post PRU15: Jabatan Meteorologi keluar amaran ribut petir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *