MACHANG: Semua jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini diingatkan supaya tidak sesekali melakukan serangan peribadi ke atas semua calon-calon daripada parti pesaing bagi meraih undi sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, semua pihak perlu menghormati konsep dan sistem demokrasi dalam negara dengan kepelbagaian pendapat supaya kempen-kempen dapat dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah memberi penerangan terbaik dengan meyakinkan rakyat supaya BN dapat menjadi pilihan pertama pada hari pengundian nanti.

“Kita semua ada kelemahan serta kelebihan, jadi jangan menyerang peribadi masing-masing dan tidak boleh memandang rendah mana-mana pihak kerana mereka juga mempunyai peluang dan rakyat akan menentukan.

“Apa yang paling penting, kita bercakap soal dasar parti, kemampuan parti yang kita wakili kali ini untuk membawa suara rakyat dan memberi kepentingan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC), Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang memberitahu, semua pihak telah sedia maklum dengan rekod pencapaian BN dalam urus tadbir dan juga menjaga kepentingan rakyat yang sudah berdekad lamanya.

Katanya, setakat ini lebih 40 projek yang membabitkan kepentingan rakyat secara menyeluruh dilaksanakan sepanjang tempoh dua penggal beliau di Parlimen Machang.

“Kita tidak perlu ceritakan apa yang perlu BN buat kerana rakyat sudah tahu, malah banyak projek yang telah dilaksanakan serta yang masih dalam pelaksanaan.

“Insya-Allah, kita akan meneruskan konsep yang diwujudkan oleh BN untuk kepentingan rakyat kerana rakyat didahulukan tidak kira bangsa mana sekalipun bagi kestabilan politik,” jelasnya. – UTUSAN

The post PRU15: Jentera BN diingatkan tidak melakukan serangan peribadi ketika berkempen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *