KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ketereh, Marzuani Ardilla Ariffin atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Gee tekad mempertahan kerusi tersebut sekali gus meneruskan legasi Tan Sri Annuar Musa selepas ‘figura’ itu tidak diangkat untuk kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kak Gee berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO Bahagian Ketereh hari ini untuk memulakan persiapan gerak kerja kempen.

“Mula-mula saya akan bertemu dengan saudara-mara terdekat dan menziarahi pusara ayahanda saya sebelum meneruskan gerak kerja untuk PRU15.

“Hari ini juga saya ada perbincangan dengan pimpinan teratas peringkat bahagian untuk perancangan dan strategi bagi pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Ketereh di sini.

Mengakui agak resah saat awal dimaklumkan sebagai calon pilihan BN bagi mempertahan kerusi Parlimen Ketereh, Marzuani bersyukur kerana ada figura besar berdiri teguh di belakangnya.

Katanya, bekal semangat daripada Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh memberi keyakinan kepada dirinya.

“Tanpa sokongan Tan Sri Annuar dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad serta jawatankuasa dan penyokong bahagian pasti saya tidak mampu menggalas tanggungjawab ini.

“Dengan kehadiran mereka semua saya rasa bersemangat dan bersedia menggalas tanggungjawab memastikan Parlimen Ketereh kekal milik BN,” jelasnya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh itu memberitahu, Annuar sentiasa memberikan sokongan berterusan dan meminta beliau meneruskan tanggungjawab sebagai calon dipilih parti.

Katanya, Annuar juga sentiasa memberikan tunjuk ajar dalam setiap gerak kerja yang perlu dilaksanakan sekali gus menggerakkan jentera bagi menyokong perjuangannya.

“Insya-Allah kita akan meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau (Annuar) dan akan meneruskan perjuangan bersama-sama.

“Kita juga telah ada strategi tertentu disusun untuk PRU15 ini. Sasaran utama adalah kalangan pengundi muda tanpa meninggalkan semua segmen pengundi di Parlimen Ketereh,” katanya.

Pada PRU15, Kak Gee akan ditentang calon Gerakan Tanah Air (GTA), Hanif Ibrahim; Perikatan Nasional (PN), Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor dan Pakatan Harapan, Rahimi L. Muhamud. – UTUSAN

The post PRU15: Kak Gee mahu teruskan legasi Annuar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *