PETALING JAYA: Jumlah kertas siasatan yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus meningkat kepada 31 laporan.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka di Perak, Kedah (lima), Johor (empat), Selangor (tiga), masing-masing satu kes di Kelantan, Pahang, Sabah,Kuala Lumpur dan Sarawak.

Kata beliau, sepanjang tempoh itu, sebanyak empat individu ditahan sehingga semalam.

“Kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana mencabut bendera BN di sepanjang Jalan Persiaran Pengkalan Timur, Perak.

“Pengadu turut merakam tindakan lelaki itu dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Hazani, kes kedua melibatkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes khianat membakar khemah bilik gerakan sebuah parti politik di Taman Mutiara, Batu Pahat, Johor.

Jelas beliau, suspek dipercayai dalam keadaan mabuk ketika tangkapan dilakukan.

“Bagi kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabut dan memotong gegantung Perikatan Nasional (PN) yang digantungkan di pokok di Batu Pahat, Johor.

“Pengadu mendapati tiga gegantung parti itu telah dibuang di dalam longkang,” jelasnya.

Ujar beliau, bagi kedua kes berkenaan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambah Hazani, tangkapan bagi kes keempat melibatkan seorang lelaki kerana merosakkan poster dan bendera calon Parlimen Santubong di tepi jalan Kampung Boyan di Kuching, Sarawak.

“Laporan telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, sebanyak 2,211 permit ceramah dikeluarkan sehingga semalam.

“Empat ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan iaitu tiga di Johor dan satu di Perlis,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Kertas siasatan dibuka polis meningkat 31 laporan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *