ALOR SETAR: Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir tampil memohon maaf ekoran keterlanjurannya membuat kenyataan bahawa sesiapa yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka. 

Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi satu video ringkas berdurasi 34 saat yang dipaparkan di laman media sosial Facebook Pemuda Pas Sik hari ini. 

Akui Mohd. Shahiful, perkara berkaitan syurga dan neraka bukanlah ditentukan hanya kepada penyokong BN dan PH sebaliknya melibatkan secara umum yang melakukan kebaikan atau kejahatan.

“Saya ingin memohon kemaafan kepada semua pihak yang telah tersinggung dengan ucapan yang telah tular sebelum ini. Saya sekali lagi ingin memohon maaf kepada semua atas kekhilafan disampaikan. Semoga Allah ampunkan dosa kita semua,” katanya. 

Video tersebut turut dimuat naik dengan permintaan agar semua pihak menghentikan segala bentuk sebaran klip video ceramahnya sebelum ini bagi menjamin keharmonian selain memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bebas daripada isu perkauman dan agama melampau. 

Dalam status sama, beliau turut menegaskan bahawa apa jua tindakan yang cenderung terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh sesiapa sahaja tetap merupakan perkara yang salah dan wajib ditegah. 

Menerusi petikan siaran secara langsung ceramah Perikatan Nasional (PN) di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bendang Man dekat Sik baru-baru ini, Mohd. Shahiful mengingatkan pengundi agar mengundi PN. 

“Siapa pangkah BN dan PH, masuk ‘pi’ neraka,” katanya. 

Susulan penyebaran klip video tersebut, Mohd. Shahiful dikecam pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu. – UTUSAN

The post PRU15: Ketua Pemuda Pas Sik mohon maaf kata undi BN, PH masuk neraka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *