KUALA SELANGOR: Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Azlan Sani Zawawi atau Lando memperuntukkan lebih satu tan tar untuk menurap jalan rosak dan berlubang di kawasan Tanjong Karang.

Pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood) itu berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 10 kawasan yang menghadapi masalah infrastruktur itu termasuk di sekitar kampung.

Menurut beliau, kesemua tar menerusi paket beg itu disediakan sepenuhnya oleh Brotherhood Malaysia dari seluruh negara.

“Kita setakat ini sudah melakukan turapan jalan di tiga kawasan sepanjang tujuh hari tempoh awal berkempen.

“Saya menjangkakan lebih banyak turapan dilakukan selaras dengan manifesto utama untuk menaik taraf jalan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membaiki jalan rosak di sekitar Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, petang tadi.

Jelas Lando, Tanjong Karang dipilih berikutan menghormati dan menghargai jasa seorang ahli Brotherhood yang meninggal dunia dalam kemalangan sebelum ini.

“Arwah yang menetap di Parlimen ini amat komited dalam isu kerosakan jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan.

“Justeru, saya terpanggil untuk bertanding sekali gus memperingati jasa arwah kepada Brotherhood,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan pengundi dilihat amat positif dan menyokong perjuangannya sepanjang kempen berkempen.

Kerusi P095 itu menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan turut ditandingi Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof (BN), Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH) dan calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.

Pada PRU14, penyandang kerusi itu, Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970. –UTUSAN

The post PRU15: Lando peruntuk satu tan tar turap jalan rosak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *