PERMATANG PAUH: Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said menganggap slogan ‘Permatang Pauh Berubah’ yang dilaungkan Barisan Nasional (BN) sepanjang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) membuahkan hasil biarpun kemenangan tidak berpihak kepadanya.

Katanya, pengundi berjaya menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan memilih calon Perikatan Nasional (PN) sebagai wakil rakyat susulan perjuangan BN yang sentiasa mengajak penduduk Permatang Pauh ke arah pembaharuan.

“Kerana hujah kita saban hari menyerang Pakatan Harapan (PH), malah selama 23 tahun, akhirnya kita berjaya kejutkan rakyat.

“Tahniah PN kerana akhirnya berjaya menumbangkan PH di kerusi Permatang Pauh,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Semalam, calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan, 39, melakar kejutan terbesar selepas berjaya merobohkan kubu kuat PH selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15.

Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang meraih 37,638 undi menewaskan penyandang, Nurul Izzah Anwar yang memperoleh 32,366 undi.

Mengulas mengenai keputusan PRU15 itu, Mohd. Zaidi yang juga calon BN kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau reda apabila kemenangan tidak memihak kepadanya, namun dalam masa sama bersyukur kerana Allah SWT masih menyayangi BN.

Katanya, ada rahsia Allah SWT untuk BN menjadi parti paling bernilai ketika ini kerana walaupun PN dan PH banyak menguasai kerusi Parlimen, namun parti itu tidak mampu bergembira untuk membentuk kerajaan.

“Walaupun BN kalah, namun tidak perlu bersedih kerana mungkin BN akan menjadi sebahagian dari kerajaan juga.

“PH atau PN yang dikatakan menang besar akhirnya salah satu daripadanya akan juga menjadi pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi memberi peringatan kepada pucuk pimpinan UMNO supaya membuat keputusan demi kemajuan parti, bukannya untuk menjaga hati mana-mana pihak.

“Jaga hati ahli UMNO dahulu kerana itu kewajipan, apatah lagi hati rakyat sentiasa boleh berubah-ubah.

“Jadi sebahagian dari pemerintah dan jaga rakyat, UMNO akan kembali bangkit,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Mohd. Zaidi anggap slogan ‘Permatang Pauh Berubah’ berjaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *