PERMATANG PAUH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berharap golongan nelayan dapat membuat penilaian dalam memilih calon pemimpin yang selama ini memperjuangkan nasib mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin akan terus mewakili suara nelayan yang bimbang mata pencarian mereka bakal terhapus sekiranya projek tambakan laut selatan di negeri itu (PSI) diteruskan.

“Kami bekerja keras kerana kami tahu kepentingan nelayan dan pesawah dalam meningkatkan kestabilan sekuriti makanan.

“Tetapi, apa yang (calon) kerajaan Pusat buat? Mereka datang ke sini, lemparkan ‘molotov cocktail’ politik, tetapi tidak buat apa-apa pun untuk mewakili suara nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan kira-kira 6,000 nelayan yang menjadi ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) semalam yang memberi bayangan tidak akan mengundi pemimpin parti politik yang menyokong projek PSI pada PRU15.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau akan terus lantang bersuara dalam menangani kemelut isu sekuriti makanan selepas pandemik terutama membabitkan kelangsungan hasil laut.

“Pelbagai cadangan telah kami suarakan kerana kita lihat cabaran masa depan yang perlu dihadapi nelayan negeri ini dan isu hasil laut yang menjadi mustahak untuk dilindungi.

“Saya amat berharap semua pemimpin daripada mana-mana parti sekali pun supaya mengambil kira isu kedaulatan makanan, lebih-lebih lagi pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri supaya mendengar keluhan para nelayan,” katanya.

Pelaksanaan projek PSI seluas hampir 17 kilometer persegi itu membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion. – UTUSAN

The post PRU15: Nurul Izzah minta nelayan pilih pemimpin pertahan hak mereka sebelum ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *