MARAN: Pahang mengikuti jejak langkah empat negeri lain yang sebelum ini memutuskan 18 November sebagai cuti umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian cuti itu memberi masa kepada pengundi membuat persiapan yang diperlukan seperti pulang ke kampung bagi mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Kita kena ikut, bila Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah umumkan, negeri tidak ada pilihan, kita kena ikutlah,” katanya pada majlis ramah mesra bersama penduduk Mukim Chenor dan Kertau di Dewan Orang Ramai Chenor Seberang di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan tentang cuti umum seluruh negara pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan orang ramai keluar mengundi.

Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah sudah mengumumkan cuti umum di negeri masing-masing.

Sementara itu, mengulas perkembangan kempen PRU15 di Pahang, Wan Rosdy berkata, jentera kempen perlu terus bekerja keras bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mentadbir kerajaan negeri.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kita melihat pengundi mengambil kira ‘track record’ kerajaan Pahang yang begitu menjaga kebajikan rakyat.

“Kita akan teruskan kempen secara sihat, kita beritahu kepada pengundi kenapa harus memberi sokongan kepada BN, kita bukan menjanjikan bulan dan bintang. Kita tunjukkan apa yang kita sudah buat dan banyak lagi kita boleh buat selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN

The post PRU15: Pahang cuti 18 November  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *