KOTA BHARU: Pas masih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti termasuklah merealisasikan penyatuan ummah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selagi belum sampai hari penamaan calon, parti-parti politik masih boleh membentuk gabungan untuk berdepan PRU15.

“Hari penamaan calon adalah penentu satu-satu parti politik itu berada dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi, saya rasa ia belum lagi berakhir kerana parti-parti politik masih boleh membentuk gabungan masing-masing.

“Jadi, belum ada sesuatu yang betul-betul muktamad selagi belum tiba hari penamaan calon,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival KeTSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan berlangsung di Dataran Platinum Mall, Lembah Sireh di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan, setakat ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memberi sebarang maklumat berkenaan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada Pas.

Katanya, setakat ini, Pas hanya mendengar ura-ura tetapi belum dapat dipastikan kebenarannya.

“Jika benar, ia belum berada dalam pengetahuan Pas kerana belum dirujuk atau diberitahu kepada kami. Adat berkeluarga, kita perlu berbincang jika hendak melakukan sesuatu perkara.

“Contohnya semasa Pas mahu berbincang dengan UMNO bagi merealisasikan usaha penyatuan ummah baru-baru ini. Kita maklumkan perkara itu secara rasmi kepada Bersatu,” ujarnya. –UTUSAN

The post PRU15: Pas terbuka jalin kerjasama mana-mana parti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *