ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar bersandar kepada realiti untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya hanya mengharapkan kerjasama UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Anwar ketika ini dilihat cuba mengharapkan realiti untuk bekerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menunaikan hajatnya memimpin negara.

“Memang beliau calon Perdana Menteri daripada PH tetapi untuk memegang jawatan itu, PH perlu berjaya tubuhkan kerajaan dulu. Tetapi kalau beliau harapkan kerjasama dengan Presiden UMNO untuk jadi Perdana Menteri, itu terpulang kepadanya.

“Semua kita boleh bermimpi, tetapi kalau nak bermimpi pun, biarlah mimpi yang berpijak kepada realiti. Tetapi nampaknya beliau mengharapkan realiti untuk bekerjasama dengan Presiden UMNO bagi memungkinkan beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.

Sejak sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, terdapat desas-desus mengenai percaturan selepas PRU15 melibatkan Ahmad Zahid dan Anwar. Bagaimanapun sehingga kini tiada pengesahan daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PN Perak tidak terkesan dengan tindakan PH menurunkan calon-calon ‘heavyweight’ di negeri itu seperti Anwar, Nik Omar Nik Aziz serta Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang dilihat sebagai cubaan menawan negeri itu.

“Bagi PKR, mereka mungkin dianggap sebagai calon ‘heavyweight’ namun bagi kami, mereka adalah calon biasa,” katanya.

Terdahulu Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, hubungan antara parti-parti yang membentuk PN terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas cukup akrab hinggakan rundingan yang dijalankan untuk pembahagian kerusi berjalan cukup lancar.

“Apabila bercakap tentang perpaduan ummah, sudah tentu perlu ada ‘give and take’. Dari sudut itu, kedua-dua parti ini sudah banyak berkorban dan Pas sendiri pun tak ada minta lebih-lebih. Kalau dulu sewaktu saya bersama PH, hari-hari bergaduh untuk pembahagian kerusi dalam PRU14.

“Kalau mesyuarat pukul 8, pukul 4 saya dah pening sebab asyik bergaduh. Tetapi kali ni apabila kita bersama Pas, keadaannya cukup berbeza dengan kami ini lebih banyak ketawa dan tak pernah bergaduh pun.

“Saya diamanahkan untuk sebagai pengerusi rundingan kerusi bagi pihak Bersatu manakala Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam jawatankuasa itu ada Muhammad Sanusi, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ronald Kiandee,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Peja minta Anwar berpijak kepada realiti untuk jadi PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *