KEPALA BATAS: Seorang remaja nekad berjalan kaki untuk pulang ke Kelantan bagi menunaikan kewajipan sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) nekad berbuat demikian selepas tiket bas ekspres ke kampung halamannya habis.

Bagaimanapun, dia yang berjalan bersendirian sambil menyorong beg pakaian ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang di sekitar Jalan Bertam Indah 2, kira-kira pukul 7 petang semalam.

Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB), Ts. Jasni Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, pelajar terbabit kelihatan letih namun tetap mahu meneruskan perjalanan pulang ke kampung.

“Muhammad Haikal adalah pelajar bidang Sijil Animasi 2D dan dia juga kurang sempurna daripada segi pergerakan dan pertuturan, namun semangatnya kuat.

“Kita mengambil inisiatif menghantar Muhammad Haikal pulang ke Kelantan menggunakan kenderaan jabatan hari ini supaya boleh mengundi Sabtu ini.

“Sumbangan turut dibuat oleh semua kakitangan kolej bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia amat terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak KKKB yang turut dapat meringankan beban keluarganya.

Difahamkan, dia kematian ayah sejak berusia 11 tahun dan memikul tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik. – UTUSAN

The post PRU15: Pelajar kolej nekad jalan kaki balik ke Kelantan untuk mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *