GUA MUSANG: Tindak-tanduk Pas yang tidak tetap dalam membuat pendirian menjadi punca kepada kegagalan kerjasama antara parti itu dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, keputusan Pas untuk tidak bersama MN bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila parti tersebut tidak tetap dalam membuat keputusan.

“Saya tak tahulah…sekali Pas kata tak ada apa, sekali dia kata UMNO rasuah dan tidak boleh bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini, hari ini.

Ku Li memberitahu, tindakan itu secara tidak langsung akan memperlihatkan sejauh mana penerimaan rakyat terhadap pentadbiran Pas di Kelantan, Kedah dan Terengganu pada PRU15 kali ini.

“Tidak salah sekiranya Pas mendapat kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN). Kalaulah Pas mendapat kekuatan daripada PN kerana bergabung dengan Bersatu, apa salahnya… kita cubalah dan lihat apa rakyat nak. 

“Pas sudah berkuasa di Kelantan 30 tahun. Di Terengganu sejak PRU yang lepas dan di Kedah pun beberapa tahun dah dia berkuasa. Jadi kita cubalah rakyat di negeri-negeri ini puas hati atau tidak dengan pemerintahan mereka kali ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post PRU15: Pendirian tidak tetap Pas, punca MN gagal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *