PERMATANG PAUH: Rata-rata penduduk di daerah ini mengharapkan lebih banyak pemba­ngunan dan kemudahan infrastruktur dinaik taraf setanding kawasan lain khususnya pusat bandar negeri itu, George Town.

Pembangunan dan naik taraf infrastruktur itu bagi membolehkan penduduk setempat menikmati kehidupan yang lebih baik selain dapat merancakkan ekonomi sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Seorang penduduk, Hana Abdullah, 50, berkata, sudah tiba masanya deretan bangunan lama di Permatang Pauh dinaik taraf sekali gus memberi wajah baharu kepada pekan lama itu.

“Saya tinggal di sini sejak kecil dan sehingga kini, tidak ada perubahan langsung, malah infrastruktur yang ada juga tidak dinaik taraf menjadikan kawasan ini umpama pekan mati.

“Bukan itu sahaja, jalan di pekan ini juga antara laluan utama ke Permatang Pasir, Sama Gagah dan setiap petang, pasti berlaku kesesakan disebabkan jalan yang agak sempit.

“Diharapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini dapat membawa perubahan menerusi pemimpin yang lebih cakna akan isu masyarakat,” katanya di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Nur Atikah Alias, 35, berkata, perubahan di Permatang Pauh perlu dilaksanakan supaya pekan yang suram dapat dirancakkan kembali menerusi pertambahan infrustruktur moden dan pusat tumpuan belia.

“Tentu lebih baik sekiranya ada pusat belia untuk golongan itu berkumpul dan menjalankan aktiviti riadah.

“Infrastruktur seumpama ini dapat membuka ruang yang lebih kondusif dan pelbagai aktiviti boleh diadakan antaranya bengkel kemahiran, kursus mahupun aktiviti sukan.

“Saya percaya dengan adanya pusat aktiviti sebegitu dapat mengelakkan golongan belia setempat terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah,” katanya.

Pada PRU15 esok, penyandang kerusi Parlimen itu, Nurul Izzah Anwar (PH) bakal menentang calon BN, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said; Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN) dan Mohd. Nasir Othman (GTA).

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau mendapat 35,534 undi mengalahkan Mohd. Zaidi (BN) yang memperoleh 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982. – UTUSAN

 

The post PRU15: Penduduk tidak mahu Permatang Pauh terus dilabel ‘pekan koboi’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *