PETALING JAYA: Kementerian-kementerian di bawah kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diterajui oleh anggota Kabinet yang cekap dan proaktif bagi memastikan tiada negara yang berani melakukan provokasi dan onar di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penegasan dalam aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting supaya tiada negara cuba mencetuskan provokasi susulan pendedahan tergempar tentang kewujudan kegiatan dan operasi agensi pengintipan, Mossad di Malaysia, baru-baru ini. 

Katanya, soal penglibatan ejen perisikan Israel memasuki dan menculik warga Palestin di negara ini merupakan sangat serius kerana membabitkan negara asing terutamanya yang tiada hubungan diplomatik.

“Kementerian Luar Negara sewajarnya mengemukakan nota bantahan kepada Israel dan membawa isu ini ke medan antarabangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram negara itu yang melakukan tindakan keganasan di Malaysia. Ini juga bermakna mereka juga mempunyai aset risikan di negara ini dan harus dibanteras segera.

“Kementerian Dalam Negeri perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti. Hal ini kerana mereka mempunyai mekanisme efisien dalam sistem keselamatan negara.

“Sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan menangani situasi ini agar tidak berlaku masa akan datang dan pihak terlibat perisikan asing berniat jahat harus diambil tindakan tegas tanpa kompromi. Semoga pembentukan kerajaan baharu nanti akan mempunyai peneraju kementerian lebih cekap dan proaktif,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas pendedahan media tempatan tentang kewujudan kegiatan dan operasi agensi pengintipan, Mossad di Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut bukan sahaja jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia, malah seolah-seolah mencabar kedaulatan dan mengancam tanah air ini.

“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka,” soalnya.

Justeru beliau menegaskan aspek kawalan keselamatan pelbagai akibat ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di negara ini perlu dipertingkatkan.

Beliau kemudian merakamkan setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menumpas perculikan warga asing oleh agen perisikan asing. – UTUSAN

The post PRU15: Peneraju kementerian kerajaan baharu perlu orang cekap, proaktif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *