SEBERANG PERAI: Para pengusaha dobi di Seberang Jaya, di sini tidak menang tangan apabila perlu mencuci sehingga lebih 250 kilogram (kg) pakaian sempena musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini.

Pengusaha dobi, Cik Syafawati Che Radzi, 43, bagaimanapun berkata, beliau menganggap itu rezeki kurniaan Allah SWT dan akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan pakaian pelanggan dengan lebih baik.

“Sebelum ini, selalunya saya perlu mencuci kira-kira 150kg pakaian setiap hari tetapi semasa musim PRU15, suasananya memang berbeza.

“Saya bersama empat pekerja kadang-kala perlu mencuci dan menguruskan sehingga 250kg pakaian sehari,” katanya ketika ditemui di pusat dobinya di Jalan Tenggiri, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Cik Syafawati berkata, kebanyakan pelanggan datang dari luar dan kebanyakan pakaian yang dihantar berkaitan dengan suasana PRU15 seperti kemeja-T, baju korporat dan pakaian biasa yang tertera logo parti.

“Kami perlu bekerja keras untuk memastikan pelanggan menerima pakaian yang siap dicuci dan digosok pada waktu ditetapkan.

“Mujurlah, lima buah mesin basuh dan pengering yang digunakan melicinkan urusan mencuci dan mengeringkan pakaian yang dihantar.

“Penat memang dirasai, tapi kami gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

 

The post PRU15: Pengusaha dobi tak menang tangan, cuci hingga 250kg pakaian appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *