PERMATANG PAUH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said menyifatkan pencalonan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah percubaan terakhirnya dalam membawa pembaharuan buat penduduk di kawasan it.

Katanya, beliau telah berkhidmat untuk penduduk di situ lebih dari15 tahun tanpa sebarang jawatan kecuali Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh.

“Tanpa sebarang jawatan pun, saya berpuas hati kerana berpeluang mendapatkan dan melaksanakan beberapa projek besar yang boleh dimanfaatkan penduduk.

“Kalau diberi peluang (menang), saya ingin melaksanakan misi yang lebih besar.

“Namun, andai tidak berjaya, saya mempunyai ramai pelapis pemuda hebat yang ada di belakang saya dan mereka ini memiliki kemampuan, kemahiran, pendidikan yang diyakini boleh mengganti saya untuk memberi cabaran pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Pentas Anak Muda Berubah yang turut dihadiri penceramah bebas, Datuk Kazim Elias.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi sumber kekuatannya untuk terus berjuang.

“Di belakang saya, ada ‘sahabat” dan juga ‘abang’ yang sejak daripada daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan sehingga Perdana Menteri, sentiasa berada di belakang dan menyokong saya.

“Atas sebab itulah, saya percaya dan punya keyakinan tinggi untuk bantu penduduk Permatang Pauh yang dahagakan perubahan,” katanya.

Mohd. Zaidi bersaing merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pertandingan empat penjuru menentang calon PH yang juga penyandang, Nurul Izzah Anwar; Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN) dan Mohd. Nasir Othman (GTA). – UTUSAN

The post PRU15: Percubaan terakhir Mohd. Zaidi ubah Permatang Pauh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *