KUANTAN: Polis Pahang membuka tiga kertas siasatan berhubung laporan jenayah dan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat ini.

​​​​Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua kes tersebut dilaporkan di Bera manakala satu lagi di Temerloh.

Menurutnya, ketiga-tiga kes telah mendapat perhatian pihak Jabatan Siasatan Jenayah Pahang (JSJP) dan pihak pendakwaan.

“Kes pertama berlaku 5 November lalu, di bandar Bera, melibatkan ugutan jenayah apabila seorang pekerja kempen PRU15 yang memasang bendera dan kerja-kerja kempen tersebut dikatakan tidak dibayar upah.

“Susulan kejadian itu, suspek tersebut datang berjumpa salah seorang daripada kakitangan kempen dengan mengeluarkan kata-kata dan ugutan jenayah. Kes disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Dalam pada itu, pada 6 November lalu, di Triang terdapat satu lagi kes dipercayai akibat khianat apabila suspek merosakkan papan tanda calon dan bendera parti yang dipasang. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, terdapat satu lagi laporan polis diterima, semalam membabitkan calon Parlimen Kuala Krau.

Jelasnya, kes tersebut berkait rapat satu hantaran dalam laman sosial, Facebook yang berunsurkan pengembangan kepada perasaan jahat atau permusuhan dan ia disiasat di bawah seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Pengadu membuat laporan kerana beranggapan komen di Facebook itu boleh mencemarkan nama baiknya,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkaitan isu permit pengucapan umum yang merupakan perkara utama di musim PRU15 ini, beliau berkata, sehingga semalam, polis Pahang menerima sebanyak 499 permit dan diluluskan untuk tujuan ceramah.

“Setakat ini, tidak ada ceramah politik tanpa sebarang permit yang berlangsung, namun begitu pihak polis giat melakukan pemantauan.

“Setiap satu ceramah menggunakan satu permit dan bukannya diperoleh secara pukal, dan segala kelulusannya pula bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa untuk meluluskannya,” katanya.

Sementara itu, Ramli turut mengingatkan parti-parti politik agar tidak memasang bahan kempen di lokasi dan premis secara berbahaya sepanjang tempoh kempen PRU15.

Katanya, dalam keghairahan berkempen, isu keselamatan tidak boleh diabaikan.

“Perbuatan menggantung bendera sesuka hati itu boleh mengundang bahaya dan mengancam nyawa kerana mendatang risiko contohnya kepada pengguna jalan raya yang terhalang penglihatannya ketika menggunakan laluan tersebut.

“Pemasangan bendera pada premis atau kemudahan TNB seperti di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit adalah dilarang.

“Sekiranya ada laporan polis tentang pemasangan bahan-bahan kempen tersebut, pihak polis akan merujuk kepada pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menurunkannya,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Polis Pahang buka tiga kertas siasatan di Bera, Temerloh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *