LIPIS: Dakwaan terdapat pihak tidak bertanggungjawab merosakkan poster kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdekatan bilik gerakan sebuah parti politik di Kampung Jeram Bungor di sini pada petang semalam adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Azli Mohd. Noor berkata, pemantauan anggota polis Pondok Polis Kerambit mendapati, poster yang digantung itu rosak disebabkan oleh hujan lebat dan disertai ribut antara pukul 5 hingga 6.30 petang semalam.

“Poster gambar calon sebuah parti ini diperbuat daripada kertas tanpa lapisan plastik menyebabkan mudah koyak, basah ketika hujan dan risiko tercabut amatlah tinggi khususnya ketika angin kencang.

“Pasukan pemantauan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lipis dan anggota dari Balai Polis Kerambit telah melawat ke lokasi yang didakwa berlaku pengkhianatan ini dan hasil siasatan adalah tidak benar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azli, kejadian sama turut berlaku di Kechau Tui yang melibatkan poster kertas biasa yang koyak akibat hujan dan ribut.

“Poster ini yang digantung itu hanya dilekatkan menggunakan ‘stapler’ dan mudah terkoyak dan gugur ke tanah apabila basah disebabkan hujan dan juga diterbangkan ribut.

“Saya turut bertanya penduduk berdekatan dan memberitahu Ketua Cawangan UMNO Kechau Tui sudah sedia maklum dan akan menggantikan poster baharu,” katanya.

Azli menasihatkan orang ramai khususnya penyokong setiap parti politik supaya jangan membuat provokasi dan perlu menghormati calon yang bertanding supaya aktiviti kempen dan pilihan raya umum (PRU) ini tanpa gangguan dan tidak tercemar dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan merosakkan poster dalam tempoh ini dan masing-masing penyokong calon mesti berdisiplin dan bekerjasama supaya kempen PRU15 berjalan lancar yang akan berakhir menjelang hari mengundi pada 19 November ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post PRU15: Poster calon rosak, koyak bukan sebab khianat – Polis Lipis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *