KUANTAN: Orang Melayu dilihat semakin berpecah ekoran kemunculan parti politik baharu termasuk calon-calon Bebas yang menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Blogger yang juga aktivis masyarakat, Mohd. Shukri Mohd. Ramli berkata, atas faktor tersebut, pada PRU15 kali ini beliau mengambil keputusan tidak bertanding di negeri ini walaupun dipelawa Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Jelasnya, beliau dipelawa PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dan Kerdau, GTA (DUN Teruntum) dan PRM di DUN Semambu dan juga Parlimen Indera Mahkota.
“Saya tolak semua pelawaan itu secara baik, jika ikutkan kepada rakan-rakan dan penyokong memang mereka mahu saya bertanding di Indera Mahkota atas faktor penolakan calon di kawasan itu.
“Tapi saya memilih untuk tidak bertanding kerana suasana politik ketika ini berlaku perpecahan dan ia akan lebih parah jika tampil pula calon-calon Bebas. Ia akan lebih mengelirukan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Shukri yang turut terkenal dengan gelaran Cucu Mat Kilau (CMK) berkata, pada PRU15 kali ini beliau memilih kekal sebagai aktivis bebas.
Beliau dalam pada itu meminta pengundi khususnya di negeri ini supapa membuat pilihan yang terbaik dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir Pahang.
“Saya melihat rakyat khususnya di negeri ini perlu terus memberikan sokongan kepada kerajaan ketika ini yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Biarpun ada kekhilafan yang rakyat tidak bersetuju, namun pentadbiran Wan Rosdy terbukti berjaya memajukan ekonomi negeri sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya.
Beliau berkata, kutipan hasil negeri yang melebihi RM1 bilion adalah pencapaian yang cukup memberangsangkan dan ia tidak berlaku sebelum ini.
“Jadi saya melihat kepimpinan Menteri Besar harus dikekalkan dan dipertahankan oleh rakyat.
“Jika hendak ubah, kita tidak tahu apa akan terjadi selepas ini, ambil contoh pengalaman lalu selepas tumbangnya kerajaan BN selama 60 tahun, pelbagai masalah timbul.
“Kerajaan 22 bulan yang diberi mandat oleh rakyat gagal menunaikan janji mereka dan melaksanakan pelbagai tindakan yang mengecewakan rakyat,” katanya.
Mohd. Shukri sebelum ini adalah ahli PKR sebelum mengumumkan keluar parti itu pada Februari 2011.
Dia pernah bertanding pada PRU12 di kerusi DUN Kemayan, dalam Parlimen Bera; kerusi DUN Semambu, kawasan Parlimen Indera Mahkota (PRU13) dan PRK DUN Chini pada 2020. – UTUSAN

The post PRU15: Ramai calon kelirukan rakyat, sokong kerajaan terdahulu – CMK appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *