GEORGE TOWN: Menyedari sentimen calon anak tempatan yang kerap dimainkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Jelutong, Datuk T. Loganathan tampil menjelaskan beliau adalah wakil keluarga Malaysia yang bersedia memberi khidmat kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Loganathan, 59, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, ketika dimaklumkam akan bertanding mewakili BN di Parlimen Jelutong, beliau tidak berasa kecewa kerana yakin dapat memberikan khidmat kepada semua kaum di kawasan itu.

”Saya anak Malaysia yang boleh wakili semua kaum, bagi saya anak tempatan itu adalah kita semua anak Malaysia.

”DAP juga ada calon luar yang bertanding di Pulau Pinang seperti Lim Guan Eng, kalau pengundi di sini boleh terima Guan Eng, mengapa mereka tidak boleh terima saya,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Jalan Sungai, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Jelutong menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Loganathan (BN); penyandang kerusi, RSN Rayer (PH); Datuk Baljit Singh (PN); Koh Swee Yong (Parti Rakyat Malaysia); Yacoob Noor (Bebas) dan Martin Lim (Warisan).

Loganathan yang merupakan Presiden Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) berkata, walaupun bertanding di kerusi Parlimen yang merupakan kubu DAP, beliau melihat peluang semua calon merebut kerusi Parlimen itu adalah seimbang.

”Sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) juga tidak sehebat dulu kerana mereka telah tahu bagaimana pentadbiran PH selama 22 bulan.

”Banyak janji-janji PH yang tidak dapat mereka tepati, jadi rakyat sudah serik dan beralih semula kepada BN.

”Saya lihat peluang bagi BN merebut kerusi Parlimen Jelutong adalah 50-50, kempen masih lagi diteruskan dan kita akan pastikan kemenangan di sini,” katanya.

Loganathan yang merupakan bekas guru berkata, dia lebih selesa menggunakan pendekatan berkempen secara bersemuka dengan pengundi ketika ini kerana mahu lebih dekat dengan mereka.

”Setakat ini saya telah berjumpa kira-kira 45 peratus pengundi dan yakin dapat selesaikan kempen secara bersemuka sebelum hari pengundian Sabtu ini,” katanya.

Tambahnya, beliau akan melakukan pecutan akhir kempen secara bersemuka bermula Isnin sehingga Jumaat ini bagi memastikan setiap pengundi di Parlimen Jelutong mengenalinya dan mengundi BN. – UTUSAN

The post PRU15: Saya anak `Keluarga Malaysia’, boleh wakili pengundi di Parlimen Jelutong – Loganathan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *