BUKIT MERTAJAM: Sesi debat antara lima calon bagi kerusi Parlimen Batu Kawan yang sepatutnya berlangsung dalam suasana menarik bagaimanapun agak hambar apabila hanya tiga daripada mereka hadir pada sesi itu hari ini.

Mereka ialah calon Perikatan Nasional (PN), Wong Chia Zhen; calon parti Warisan (Warisan), Ong Chin Wen dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Lee Ah Liang.

Ah Liang yang tiba agak lewat pada sesi debat itu bagaimanapun bergegas meninggalkan majlis selepas kira-kira 40 minit berbahas kerana mempunyai komitmen lain.

Sementara itu, dua lagi calon iaitu Chow Kon Yeow dan Tan Lee Huat yang masing-masing mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) langsung tidak memunculkan diri sepanjang sesi debat tersebut berlangsung.

Sepanjang sesi debat yang turut disiarkan secara online itu juga, ketiga-tiga calon dilihat cuba menonjolkan diri menerusi pengenalan manifesto masing-masing.

Antara topik yang menarik perhatian ialah dua daripada mereka sependapat Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang tidak sepatutnya bertanding kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Chia Zhen, sudah tiga penggal PH memegang kerusi Parlimen Batu Kawan serta ketiga-tiga kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masalah berbangkit seperti kesesakan lalu lintas dan banjir masih gagal diatasi sehingga hari ini.

“Lagipun beliau (Kon Yeow) sekarang dah pegang pelbagai jawatan. Selain Ketua Menteri yang jaga bab tanah (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan negeri), beliau juga ada kepentingan dalam PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang), Naib Pengerusi DAP kebangsaan dan lain-lain.

“Saya nak sebut (senarai jawatan) pun sudah letih. Kalau beliau jadi Ahli Parlimen Batu Kawan pula selepas PRU15, mampukah beliau nak jaga semua ini?

“Lagipun, semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Tanjong sebelum ini, rekod kehadirannya di Parlimen juga hanya sekitar 40 peratus sahaja,” katanya.

Bagi Chin Wen pula, kekalahan DAP khususnya Kon Yeow di Batu Kawan nanti akan menguntungkan penduduk setempat dan penduduk Pulau Pinang secara amnya.

“Walaupun dia (Kon Yeow) calon pilihan (untuk menang), tapi jika tak menang, inilah masa yang terbaik untuk mereka (kerajaan DAP Pulau Pinang) menyelesaikan masalah rakyat di peringkat negeri secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Sesi debat calon Batu Kawan ‘hambar’ tanpa Kon Yeow, Lee Huat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *