ALOR GAJAH: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yakin dapat menawan hati pengundi di Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan maklum balas positif daripada masyarakat di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah ini memaklumkan walaupun tempoh berkempen hanya berbaki lima jam dari sekarang namun beliau percaya masyarakat di Alor Gajah bijak untuk menilai pemimpin yang harus di pilih demi memastikan kestabilan negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, walaupun parti-parti politik lain berlumba-lumba dengan manifesto dan tawaran yang disediakan, namun ianya amat berbeza denga napa yang ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Skim bantuan pendapatan asas yang terkandung dalam tawaran manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) Barisan Nasional (BN), bukan sekadar ‘janji bulan bintang’ seperti mana pernah dibuat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau turut menegaskan, inisiatif yang ditawarkan adalah relevan ke arah penambahbaikan sistem bantuan kewangan terus kepada rakyat yang telah mula diperkenalkan kerajaan BN ketika era pentadbiran Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata calon BN kerusi Parlimen Alor Gajah itu lagi, mekanisme bantuan sedemikian yang dipelopori BN terbukti diterima dan diakui lawan apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijenama semula kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh PH, walaupun sebelum ini barisan kepemimpinan lawan melabelnya dengan panggilan ‘dedak’.

“Kalau sebelum ini BN adalah parti pertama memulakan bantuan kewangan terus kepada rakyat melalui BR1M. Kemudian walaupun dia cakap dedak, dia pun buat dedak basah (BSH) selama 22 bulan. Kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih, dia buat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sekarang ini bawah Perdana Menteri BN, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) paling banyak dalam sejarah.

“Apa yang disebut dalam manifesto PADU BN yang kita kena cerita dekat orang, kita nak reform perkara ini. Kalau sekarang kita kena tunggu, kita kena tunggu bajet tiap-tiap Oktober, untuk dengar apa bantuan kewangan akan keluar tahun depan.

“Kita kena tunggu Perdana Menteri buat perutusan atau pengumuman dekat televisyen, kita akan tahu ada bantuan khas sekian-sekian. Apa yang BN cuba buat pada masa ini, kalau kita menang, kita nak buat proses ini lebih telus. Kita nak kreditkan terus secara bulanan kepada rakyat yang memerlukan, rakyat yang bawah pendapatan kemiskinan iaitu RM2,208 setiap bulan.

“Kalau pendapatan isi rumah yang direkod bawah RM2,208, kerana itu adalah paras garis kemiskinan maka akan ada bantuan automatik yang masuk ke dalam akaun setiap bulan. Inilah pembaharuan yang dibawa oleh BN,” katanya ketika berucap pada Program ‘Alor Gajah, Izinkan Saya’ di Bilik Gerakan Cawangan Gangsa Selatan, Durian Tunggal di sini malam tadi.

Terdahulu, BN melalui PADU mengumumkan satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara jika parti itu memenangi PRU15.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas dengan mengkreditkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208. – UTUSAN

The post PRU15: Shahril Hamdan yakin tawan Alor Gajah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *