PETALING JAYA: Berpeluang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengundang debaran besar buat pelakon muda, Sharifah Rose, 24.

Pelakon Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu berkata, selama ini dia hanya mengetahui tentang proses pelaksanaan pilihan raya menerusi pemerhatian dan pembacaan.

Sudah tentu, katanya, dia berasa teruja untuk keluar mengundi bagi memilih pemimpin yang bakal berkhidmat di kawasannya.

“Saya harap anak-anak muda di luar sana juga menjalankan tanggungjawab mereka sebab satu undi adalah sangat berharga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharifah yang akan mengundi di Parlimen Shah Alam menaruh harapan besar terhadap wakil rakyat yang dapat menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan kediamannya.

“Saya tinggal di Seksyen 13 dan kawasan ini kerap banjir. Jadi, sudah tentu saya amat mengharapkan pemimpin yang benar-benar mengambil tahu dan ingin mengatasi masalah banjir di sini,” katanya.

Bagi penyanyi popular dengan lagu Casablanca, Naufal Azrin, 23, yang akan mengundi bagi memilih wakil rakyat di Parlimen Gombak, dia sangat teruja dan tidak sabar untuk menjalankan kewajipan.

Katanya, dia juga akan menggunakan platform media sosial bagi memberi galakan kepada pengundi muda menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Jelasnya, golongan muda seperti dirinya yang akan menunaikan hak buat kali pertama perlu mempunyai kesedaran tinggi dan tidak mensia-siakan peluang yang hanya datang tempoh lima tahun sekali.

“Saya rancang untuk keluar pada waktu pagi sebab ingin lihat suasana di tempat pengundian, esok. Saya akan pergi dengan emak yang sudah mempunyai pengalaman supaya tidak kekok berada di saluran pengundian nanti.

“Sebagai rakyat, saya mahu pemimpin yang tegas dan berpegang teguh pada prinsip,” katanya.

The post PRU15: Sharifah Rose berdebar, Naufal Azrin tak sabar mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *