PETALING JAYA: Pembentukan Kerajaan Persekutuan yang masih tergantung kerana parti-parti politik tidak mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka tidak mempengaruhi sentimen pelabur dengan ketara.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana semua pihak sudah mempunyai pengalaman mentadbir negara dan masing-masing dilihat mampu menarik pelaburan asing.

“Saya melihat ekonomi negara akan terus berkembang seperti yang diramalkan walaupun berdepan dengan suasana ekonomi global yang sedikit merudum tahun hadapan. 

“Kemelut politik pada ketika ini harus diselesaikan secepat mungkin supaya kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti dapat memfokuskan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi parlimen diikuti Perikatan Nasional (PN) pula 51 kerusi. Barisan Nasional (BN) berjaya meraih 30 kerusi, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) pula 22 manakala Gabungan Parti Sarawak 22 kerusi.

Justeru, semua ketua parti dan gabungan politik yang mempunyai jumlah kerusi banyak diminta untuk memaklumkan persetujuan penggabungan sesama mereka bagi pembentukan kerajaan yang baharu pasca PRU15 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat selewatnya pukul 2 petang hari ini.

Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, situasi terkini selepas PRU15 sudah dijangka oleh pasaran saham apabila Bursa Malaysia merosot beberapa minggu lalu sebelum meningkat menjelang pilihan raya.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan itu (politik dan ekonomi negara) sudah berlalu dan kita akan menubuhkan kerajaan baharu tidak kira PH, PN atau BN. Jadi, kepastian untuk sebuah kerajaan baharu sudah dekat dan siapa pun yang mentadbir kerajaan tidak akan mengganggu sentimen pelabur.

“Penganalisis politik dunia juga sudah meramalkan perkara ini berlaku apabila PH akan mendapat undian terbesar namun tidak cukup majoriti bagi membentuk kerajaan. Kestabilan politik kini didefinasikan sebagai ketentuan arah politik negara.

“Keadaan sama juga berlaku di kebanyakan negara Eropah misalnya Belgium yang turut tidak mempunyai parti dengan majoriti yang memerintah dan telah dua tahun tanpa kerajaan. Walaupun dalam keadaan seperti itu, ekonomi mereka semakin baik,” ujarnya.

Tambah beliau, pasaran saham pada minggu ini juga dijangka dibuka dengan prestasi yang menurun sedikit sebelum naik mendadak, selain mata wang negara turut dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat. – UTUSAN

The post PRU15: Situasi semasa tidak jejas sentimen pelabur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *