KUALA SELANGOR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menyatakan dirinya tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri sebaliknya mahu fokus berkhidmat untuk rakyat di daerah ini.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, tumpuan utamanya kini hanya membantu rakyat dan menabur bakti kepada negara.

“Sebagai pemimpin yang baru menyertai politik, saya memberi tumpuan untuk memastikan kemenangan di Parlimen Kuala Selangor.

“Selain itu, saya semestinya meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara biarpun tidak menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika melawat Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Kuala Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan bercita-cita menjadi Perdana Menteri selepas aktif menyertai politik dan menjadi calon BN.

Pada 9 November lalu, calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri kelak.

Namun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan bahawa bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Tambah Tengku Zafrul, soal sesiapa yang ditawarkan ntuk menjadi Perdana Menteri terpulang kepada individu tersebut.

“Saya sememangnya tidak pernah terfikir mengenai perkara berkenaan setakat ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau gembira dengan sambutan dan penerimaan positif pengundi sepanjang tempoh berkempen yang hanya berbaki tiga hari.

“Saya turun menemui pengundi di lebih 20 program dan kawasan setiap hari di Kuala Selangor.

“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan baik dan yakin kemenangan akan berpihak kepada saya nanti,” katanya. –UTUSAN

The post PRU15: Tengku Zafrul tidak berhasrat jadi PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *