GEORGE TOWN: Kelibat Lans Koperal Mohamad Shafiq Hassan, 36, yang berkerusi roda dengan tangan kiri memakai anduh menarik perhatian pegawai dan anggota polis yang sedang menunggu giliran untuk mengundi awal di Dewan Mutiara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mohamad Shafiq yang mengalami patah tulang selangka dan tulang belikat serta beberapa kecederaan lain tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Sambil dibantu isterinya yang juga anggota polis, Koperal Intan Sofia Samsudin, 35, Mohamad Shafiq selesai mengundi kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

Mohamad Shafiq berkata, kesakitan dan kesukaran bergerak yang dialami akibat terlibat dalam kemalangan sewaktu menunggang motosikal pada 5 November lalu tidak menjadi penghalang untuknya mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

”Termasuk PRU15 ini saya telah tiga kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

”Mengundi ini adalah satu kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia, jadi disebabkan itu saya tetap hadir hari ini walaupun dalam keadaan kurang sihat,” katanya.

Seramai 6,051 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena PRU15 di Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohamad Shafiq, dia menasihatkan semua rakyat negara ini menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di dalam PRU15 ini.

”Undi kita yang akan menentukan siapa bakal pemimpin kelak. Bagi saya, setiap undi itu penting,” katanya.

Dalam pada itu, Intan berkata, suaminya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang daripada bersarapan di Bayan Baru dekat sini.

”Pada masa ini dia hanya berehat di rumah dan akan menjalani pemeriksaan secara berkala sebelum dibenarkan bekerja semula,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Tetap tunai tanggungjawab mengundi awal walaupun cedera akibat kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *