SHAH ALAM: Pembubaran Parlimen bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan bukan kerana mengikut telunjuk kleptokrat atau membebaskan kluster mahkamah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Kit Siang berhubung perkara itu tidak berasas sama sekali.

Tegas beliau, keabsahan kerajaan sebelum ini dipersoalkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan gagal dan menggesa supaya pilihan raya umum disegerakan.

“Tiba-tiba beliau serang kerajaan dan itu merupakan perkara amat tidak bertanggungjawab. Kalau dia kata saya tidak bertanggungjawab, dia yang memulakan perkara yang saya lakukan hari ini dan ia perpecahan yang dijangka berlaku dalam kerajaan.

“Bagaimana saya nak uruskan kerajaan saya dengan baik kalau saya tak yakin dengan kesepakatan sesama menteri Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam di sini, hari ini.

Jelas Ismail Sabri, pihak pembangkang sepatutnya berterima kasih dan seronok kerana mempercepatkan pilihan raya bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan sebenar yang diingini.

“Lagi lama kerajaan ini bertahan, selagi itu banyak isu-isu kerajaan tidak sah, tebuk atap terus dimainkan.

“Ini bermakna kalau mereka menganggap kerajaan ini dari segi keabsahannya diragui, jadi eloklah berseronok apabila saya umumkan pembubaran kerana rakyat diberi mandat untuk berpeluang memilih kerajaan mereka,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembubaran Parlimen turut tidak melibatkan desakan daripada UMNO.

“Kalau ikut pandangan, sudah lama Parlimen dibubarkan. Lihat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, (minta) bubar dan UMNO pun sudah cakap lama soal pembubaran, cuma menanti masa yang sesuai.

“Saya pun belum rancang lagi tarikh yang tepat (ketika itu) tetapi bila ada isu berkaitan yang saya nampak tak boleh nak teruskan lagi, jadi saya bubarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak menyalahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) kerana mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan menolak pembubaran Parlimen.

“Walaupun perbuatan itu tidak wajar, menteri itu hanya mengikut arahan parti masing-masing. Seperti dikatakan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri) semalam, ia hasil keputusan parti.

“Maknanya dia terima arahan dari presiden parti. Parti arahkan tulis surat, walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui Hamzah dan tidak salahkan mereka sebab ikut arahan parti,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: Tiada kaitan telunjuk kleptokrat, bebas kluster mahkamah – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *