PADANG BESAR: UMNO Bahagian Padang Besar menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi daripada MCA bagi meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagiannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu adalah sebagai persediaan bagi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kelima-lima DUN bawah Parlimen Padang Besar memandangkan calon MCA dibimbangi akan tewas sekiranya kekal bertanding di kerusi tersebut.

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan MCA negeri berhubung perkara itu memandangkan terdapat ramai pengundi yang melakukan protes terhadap calon dikemukakan parti berkenaan sebelum ini.

“Kita membuat permohonan ini berikutan pengundi kawasan DUN Titi Tinggi menolak calon MCA tapi mereka sedia menerima calon UMNO sekiranya bertanding di kawasan tersebut.

“Oleh itu, kita juga telah berbincang dengan kepemimpinan tertinggi parti supaya kawasan DUN yang menang tipis diwakili MCA sebelum ini dapat diserahkan kepada UMNO pada PRU15,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Seri Jernih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, di sini hari ini.

DUN Titi Tinggi merupakan kerusi tradisi MCA dan dalam PRU14, parti itu meraih kemenangan tipis dengan majoriti 142 undi menerusi calon mereka, Teh Chai Aan.

Chai Aan yang memperolehi 2,762 undi menang dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon DAP, Teh Seng Chuan (2,620 undi), calon Pas, Kamis Yub (2,291 undi) dan wakil Bebas, Yaacob Man (132 undi).

Dalam pada itu, Zahidi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Bahagian Padang Besar turut mencadangkan calon Menteri Besar dipilih dalam kalangan wanita sekiranya parti itu memenangi PRU15.

“Langkah tersebut juga selaras dengan cadangan MKT UMNO yang meluluskan cadangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU-15.

“Jadi kalau kita betul ikhlas dalam perkara ini, biarlah Menteri Besar di Perlis dipilih dalam kalangan wanita untuk suntik semangat kepada UMNO Perlis,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: UMNO Padang Besar tuntut DUN Titi Tinggi, BN mungkin tewas jika letak calon MCA appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *