GEORGE TOWN: UMNO Pulau Pinang masih berharap dapat mengelak pertandingan dengan calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan kedua-dua parti masih mempunyai hubungan baik sama ada di peringkat akar umbi atau pucuk pimpinan di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pertandingan dengan calon Pas juga akan menyebabkan situasi sama seperti PRU14 berulang yang mana tidak memberi kelebihan kepada kedua-dua parti.

Sehubungan itu, beliau berharap dan merayu kepemimpinan UMNO Pusat dapat mencari jalan serta mempertimbangkan supaya isu berhubung kerjasama dengan Pas itu dapat diselesaikan dengan lebih baik.

“Dalam situasi di Pulau Pinang kita masih bincang dengan Pas (untuk bekerjasama dalam PRU15) meskipun pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah memutuskan untuk bergerak solo.

“Memang kita akan patuh dengan keputusan BN Pusat untuk bergerak solo, tapi di Pulau Pinang, UMNO dan Pas masih mempunyai hubungan dan kerjasama yang rapat, jadi ahli-ahli akar umbi kedua-dua parti menjadi keliru,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang bagi PRU15 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Musa yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, pihaknya juga telah membangkitkan perkara itu kepada pucuk pimpinan BN Pusat untuk pertimbangan sewajarnya, namun tetap akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan.

“Jika terpaksa menentang calon Pas juga, kita akur dan menganggap ia seperti pertandingan antara sahabat dan akan mengelak kempen yang mengutuk atau membenci antara satu sama lain.

“Jika Pas terus memilih Perikatan Nasional (PN) sekali pun, UMNO Pulau Pinang masih boleh bekerjasama dengan Pas di peringkat kerajaan walaupun bukan di peringkat parti sama seperti sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun tambah Musa, situasi pertandingan tiga penjuru tidak sama dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mana UMNO Pulau Pinang bersedia berdepan calon Bersatu memandangkan majoriti akar umbi UMNO menolak parti tersebut.

Dalam pada itu Musa berkata, BN negeri telah menyerahkan kesemua nama calon bagi mewakili parti tersebut pada PRU15 kepada pucuk pimpinan parti sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau, senarai calon yang menyaksikan gabungan 60 peratus muka baharu dan 40 peratus calon berpengalaman itu sedang dalam tapisan dan menunggu kelulusan pucuk pimpinan parti sebelum diumumkan pada masa sesuai.

Ditanya mengenai keyakinan BN Pulau Pinang untuk merampas semula kerajaan negeri daripada DAP, Musa berkata, setiap parti yang bertanding memasuki gelanggang PRU15 dengan komitmen untuk menang, namun menyerahkan keputusan tersebut kepada rakyat.

“Tetapi kita yakin UMNO akan menang lebih daripada dua kerusi DUN seperti yang kita miliki ketika ini (Permatang Berangan dan Sungai Dua),” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: UMNO Pulau Pinang masih berharap tidak tentang calon Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *