JERANTUT: Warga peneroka khususnya generasi kedua Felda diingatkan tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang diyakini akan terus membuat pelbagai fitnah dan dakwaan berhubung agensi itu seperti dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib menyelar pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menerusi kempen PRU14 pernah menafikan kejayaan serta legasi datuknya, Tun Abdul Razak yang bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat menerusi penubuhan Felda.

“Mahukah kita (peneroka) kena tipu sekali lagi dengan PH yang sebelum ini membuat pelbagai fitnah dan dakwaan menerusi kempen PRU14 dan diharap kita berwaspada kerana perkara yang sama kemungkinan diungkit semula untuk memancing pengaruh pada PRU15.

“Ini merupakan dakwaan yang tidak berasas oleh pembangkang yang tidak menghayati sejarah serta tujuan penubuhan Felda oleh nenda saya yang sudah pun terbukti berjaya membebaskan kemiskinan rakyat selepas negara merdeka,” katanya.

Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menyatakan demikian semasa berucap dalam majlis Ceramah Umum Dengar Aokme anjuran Penerangan UMNO Jerantut di Felda Padang Piol di sini semalam.

Menurut Mohd. Nizar, konsep Felda diperkenalkan Tun Abdul Razak bagi memastikan rakyat khususnya orang Melayu keluar daripada kemiskinan dengan menempatkan peneroka menerusi pembukaan tanah rancangan di Pahang dan tempat lain sejak awal 60-an dan kini sudahpun terbukti kejayaan tersebut.

Katanya, pembangkang hanya menipu untuk menang PRU14 lalu, malah, tidak mempunyai roh bagi membela kebajikan dan membasmi kemiskinan sebaliknya rakyat termasuk peneroka merasa terbeban ketika 22 bulan mereka memerintah.

Beliau menjelaskan, skim tanah rancangan Felda merupakan yang pertama di dunia serta diperakui oleh negara lain, malah, ada yang mempelajari peranan dan kepimpinan Tun Abdul Razak tentang cara membasmi kemiskinan rakyat.

Justeru, katanya, dengan pemberian sebanyak 4.04 hektar ladang sawit atau getah kepada peneroka jelas terbukti mengubah kehidupan rakyat bukan sahaja menikmati hasil komoditi tersebut malah dapat merebut peluang dalam bidang keusahawanan serta untuk pendidikan keluarga masing-masing.

Menurutnya, legasi datuknya diteruskan oleh bapanya, Najib setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan meneruskan usaha kebajikan peneroka sekali gus merancakkan pembangunan di tanah rancangan Felda sehingga kini.

“Sekali lagi saya mengingatkan kepada peneroka Felda Padang Piol dan tempat lain di Pahang supaya jangan mudah ditipu dengan dakyah kempen semasa PRU15 ini menerusi janji pembangkang untuk membuat pelbagai perkara hanya semata-mata untuk menagih undi,” katanya. 

Berhubung PRU15, beliau yakin jentera UMNO dan BN Jerantut termasuk bantuan sayap pergerakan itu mampu mengubah semula landskap politik di situ sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di samping merampas kembali DUN Tahan dan DUN Damak.

“Saya yakin perkara ini dapat dizahirkan semula apabila percaturan strategi pilihan raya yang tepat digerakkan oleh semua jentera. Tidak mustahil hasil kerja yang ikhlas ini, UMNO yang tewas dengan Pas cuma 69 undi sahaja di DUN Tahan pada PRU14 lalu mampu dikembalikan semula dan saya berharap pengundi keluar beramai-ramai untuk memastikan calon UMNO yang dipilih berjaya dengan majoriti besar pada PRU15 ini,” ujarnya. –UTUSAN

The post PRU15: Usaha terpedaya dakyah pembangkang serang Felda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *