JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan sebanyak 43 buah bas ekspres untuk membawa seramai 1,600 penuntutnya pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, kemudahan itu disediakan secara dua fasa, iaitu 35 buah bas malam tadi dan selebihnya lapan bas, hari ini.

Menurutnya, penuntut hanya perlu membayar kos antara RM20 hingga RM50 mengikut lokasi kampung halaman masing-masing.

“Secara keseluruhan terdapat 43 buah bas yang digunakan, dengan sebahagiannya adalah bas milik UTM, manakala selebihnya bas ekspres komersial yang disewa.

“Usaha ini dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mereka telah mengumpul nama-nama penuntut yang mahu menggunakan perkhidmatan ini dan pihak UTM juga tidak mengambil sebarang keuntungan.

“Sebaliknya, usaha itu adalah bagi membantu para, penuntut pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi mereka pada 19 November ini,” katanya selepas meninjau proses pergerakan itu, di sini malam tadi.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Atiqah Alias, 21, memberitahu, pihaknya berterima kasih dengan perkhidmatan yang disediakan kerana memudahkan urusan mereka pulang ke kampung.

“Selain memudahkan, inisiatif ini juga menjimatkan perbelanjaan kerana kebiasaannya harga tiket bas untuk pulang ke Pulau Pinang kira-kira RM75, manakala kapal terbang pula dalam RM150.

“Sebagai seorang penuntut, kos berkenaan agak membebankan. Jadi, apabila ada inisiatif seperti ini dengan harga tiket bas sebanyak RM35, ia amat membantu,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Teknologi UTM, Sim Yee Xuan, 18, yang berasal dari Alor Setar, Kedah turut gembira dengan inisiatif yang disediakan universiti awam berkenaan.

“Saya rasa gembira kerana UTM ada inisiatif seperti ini sebab apabila lihat jualan tiket bas secara dalam talian banyak yang sudah habis dan jika ada sekalipun harganya mahal kerana menjadi rebutan.

“Biasanya untuk balik ke Alor Setar, harga tiket bas adalah RM70, tapi menerusi inisiatif ini saya hanya membayar RM45 sahaja. Jadi adalah lebihan dan saya juga dapat berjimat,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik. – UTUSAN

The post PRU15: UTM sedia 43 bas bantu1,600 penuntut balik mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *