TASEK GELUGOR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menepis dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya parti tersebut merupakan sebuah parti yang kaya.

Wan Saiful yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor berkata, dakwaan itu sepatutnya ditujukan kepada Anwar sendiri memandangkan pernah mengakui tidak akan mengambil gaji sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri kelak.

“Saya tak baca komen (dakwaan) sepenuhnya tapi saya rasa kalau kita tengok betul-betul yang kaya-raya itu adalah Anwar, sampai tak mahu ambil gaji sebagai Perdana Menteri.

“Jadi yang ada kemampuan tolak gaji ini semestinya kaya, cuba dia (Anwar) cerita sikit, dia dapat harta dari mana sebelum tuduh orang,” katanya dalam ketika sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang mana PN sebuah parti kaya berikutan ‘dikurniakan’ projek bernilai berbilion ringgit dalam tempoh pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.

Muhyiddin turut mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan balas semalam, Anwar menegaskan beliau bersedia mendedahkan penyata kewangan parti seperti dicabar Muhyiddin sekiranya Pengerusi PN itu juga tampil mendedahkan penyata kewangan gabungan parti itu.

Malah Anwar turut mencabar Muhyiddin untuk turut sama mendedahkan kekayaan yang dimilikinya di dalam dan luar negara. – UTUSAN

The post PRU15: Wan Saiful tepis dakwaan Bersatu parti kaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *