MUKADIMAH
TAHUN 2022 melabuhkan tirai dengan perubahan politik tanah air yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah negara sebelum ini khususnya menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang akhirnya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Senario politik itu sebenarnya memberi kesan yang lebih besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP memandangkan negeri itu kini sealiran dengan pentadbiran Kerajaan Pusat yang kini dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).
Selama 14 tahun menjadi negeri ‘pembangkang’ sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, Pulau Pinang sering dilihat dipinggirkan daripada peruntukan Kerajaan Pusat khususnya menerusi pembentangan bajet meskipun merupakan antara negeri yang membayar hasil cukai terbesar untuk negara.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, Ketua Menteri Pulau Pinang, CHOW KON YEOW berkongsi pandangan mengenai bagaimana perubahan politik negara diharapkan dapat memberi manfaat kepada Pulau Pinang serta misi dan visi beliau dalam membawa pentabdiran negeri itu menempuh tahun baharu 2023.

UTUSAN: Bagaimana YAB melihat perkembangan Pulau Pinang sejak empat tahun mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri? Apa cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang tempoh itu?
CHOW KON YEOW: Cabaran terbesar sudah semestinya pandemik Covid-19 yang juga merupakan masalah global pada awal abad ke-21. Ketika ini, kita masih berusaha untuk membangunkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik itu, khususnya dalam sektor hospitaliti dan pelancongan. Dari sudut perkembangan negeri ini dalam tempoh empat tahun lalu, saya berbesar hati untuk menyatakan Pulau Pinang menerima pelaburan pembuatan asing tertinggi pada 2021 sebanyak RM74 bilion, iaitu melebihi rekod pelaburan yang diterima pada tahun-tahun sebelum ini. Jika kita dapat membina ekosistem sokongan yang tepat, saya yakin sektor pembuatan di Pulau Pinang bersedia untuk berkembang lebih pesat.

Apa penambahbaikan yang mahu dilihat dalam melangkah ke hadapan?
Sebagai sebuah negeri perindustrian, kita perlu terus meningkatkan jumlah pelaburan ke Pulau Pinang. Kita memerlukan pelan jangka panjang dan itu sebabnya mengapa kita merancang untuk menambak laut menerusi Projek Pulau Selatan (PSI) bagi membangunkan kawasan Green Tech Park (GTP) iaitu kawasan industri yang selari dengan standard tadbir urus, alam sekitar dan sosial untuk pelabur-pelabur teknologi tinggi pada masa depan. Projek ini akan memainkan peranan yang penting kepada pembangunan Pulau Pinang pada masa depan. GTP ini juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) selaku Lembah Silikon Timur (Silicon Valley of the East).

PSI dibantah oleh beberapa NGO dan kumpulan nelayan yang meminta Kerajaan Pusat membatalkannya. Bagaimana Pulau Pinang berdepan dengan bantahan ini?
Kajian impak sosial yang dijalankan oleh konsultan bebas menunjukkan kira-kira 80 peratus penduduk setempat termasuk masyarakat nelayan menyambut baik projek ini. Tidak ada projek tambakan laut di Pulau Pinang sebelum ini yang menyebabkan kawasan ikan pupus dan nelayan hilang punca pendapatan.
Lokasi laut di mana kebanyakan nelayan menangkap ikan adalah di luar kawasan projek tambakan PSI dan mereka masih mempunyai kawasan perairan yang luas untuk mencari rezeki. Hakikat ini turut disahkan menerusi 200 imej satelit yang dikaji oleh pakar geospatial. Malah, kita turut menyediakan saluran navigasi dengan keluasan minimum 250m yang memberikan akses 24 jam kepada nelayan untuk turun ke laut sebagai sebahagian daripada pembangunan projek PSI. Ketika ini, mereka hanya boleh turun ke laut ketika air pasang.
Nelayan sebenarnya tidak pernah dipinggirkan daripada rancangan projek PSI. Pada Februari 2021 misalnya, kerajaan negeri telah mengumumkan pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk ex-gratia kepada nelayan perairan selatan. SIMP itu juga melibatkan pemberian enjin dan bot baharu, latihan kemahiran, peluang perniagaan dan pekerjaan, sokongan pendidikan di peringkat rendah dan menengah kepada anak-anak nelayan serta skim pemilikan rumah sendiri.
Dalam masa sama, kumpulan nelayan ini juga berpeluang menyertai Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd (KKPPSB) yang mana akan membekalkan perkhidmatan dan barang keperluan yang diperlukan untuk pembangunan projek PSI sekali gus menjana pendapatan kepada ahli-ahli KKPPSB iaitu para nelayan itu sendiri.
Selain itu, pelbagai agensi yang berkaitan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut terlibat dalam menyumbang idea kepada inisiatif SIMP berkenaan.
Sasaran utamanya adalah untuk membangunkan pelan holistik kepada golongan nelayan yang mahu terus mencari rezeki dengan menangkap ikan atau kepada mereka yang mahu mengembangkan kerjaya dengan menceburi bidang perniagaan serta peluang-peluang pekerjaan lain.
Kerajaan negeri juga mahu membantu anak-anak mereka untuk melakukan yang terbaik di alam persekolahan supaya mereka dapat menceburi peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa depan termasuk yang akan ditawarkan menerusi projek PSI apabila siap.

Bagaimana Pulau Pinang menangani cabaran impak alam sekitar yang merupakan faktor penting dalam projek PSI ini?
Projek tambak laut perlu mematuhi peraturan-peraturan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Terdapat langkah-langkah mitigasi yang perlu dilakukan seperti menyediakan perangkap kelodak (silt curtains), pemantauan kekeruhan dan kualiti air setiap waktu dan banyak lagi. Kegagalan mematuhi aspek kawalan dalam mengurangkan kesan kepada alam sekitar ini akan menyebabkan kerja-kerja tambak laut dihentikan. Itu perkara yang kita tidak mahu berlaku. Kesemua langkah-langkah kawalan ini akan dilaksanakan sepanjang projek PSI nanti.
Projek PSI ini juga akan mematuhi Ecology Offset Master Plan (PEOM) yang melibatkan perlindungan kepada kawasan pesisiran pantai, pengasingan karbon dan penyediaan habitat baharu kepada kehidupan marin yang menyumbang kepada kemampanan industri perikanan. PEOM ini juga melibatkan aktiviti penanaman semula hutan paya bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam (FAD) di Pulau Kendi, pelepasan benih-benih ikan dan udang, pembinaan garis pantai mesra alam di sepanjang kawasan yang ditambak, penyediaan dana bagi kajian melibatkan ekologi marin, perikanan, penyu dan tukun serta banyak lagi.
Projek PSI secara tidak langsung menyumbang kepada penambahan habitat paya bakau menerusi penanaman kira-kira 3,500 anak pokok bakau dan pelepasan dua juta benih ikan ke laut. Selain itu sejak 2008 juga, lebih 100 tukun tiruan telah dilabuhkan di kawasan laut Pulau Pinang yang mana semua langkah ini merancakkan lagi ekosistem marin tempatan dan mengurangkan impak daripada projek PSI. Dengan semua inisiatif ini adalah tidak adil untuk terus mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau projek PSI ini menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar.

PEMBANGUNAN PSI memberi tumpuan kepada inisiatif hijau yang akan memboleh serta menggalakkan penggunaan pengangkutan hijau seperti basikal dan teksi air.

Bagaimana dengan faktor perubahan iklim serta kebimbangan terhadap peningkatan paras laut terhadap projek PSI ini?
Rancangan projek PSI berpandukan kepada garis panduan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan cadangan Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC) selain Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF). Kita mahu membangunkan satu projek yang tersendiri namun mematuhi agenda prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang mana merupakan syarat utama dalam perniagaan dan ekonomi dunia hari ini. Sebab itu, projek PSI akan mematuhi elemen-elemen pembangunan hijau seperti peruntukan tanah seluas 405 hektar di kawasan tambakan laut A untuk taman-taman awam, terusan air, tasik, dataran banjir (floodplains) dan saluran tanah (bioswales) untuk meningkatkan biodiversiti dan menurunkan suhu antara 1 hingga 2 darjah Celcius. Kesemua dasar pembangunan ini akan menjadikan PSI sebagai sebuah bandar yang mampu menampung dan mengawal peningkatan aliran air termasuk bencana banjir sekiranya berlaku hujan pada kapasiti yang tinggi.
Perancangan yang mampan, perkongsian kemudahan, pelaksanaan reka bentuk yang responsif terhadap alam, penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui bagi menggerakkan GTP, pembinaan bangunan rendah tenaga, sistem pengangkutan bersepadu yang mengutamakan pejalan kaki dan pengguna basikal, kemudahan teksi air dan pengangkutan awam yang dipacu dengan penggunaan elektrik seperti e-bas dan LRT turut menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas karbon. Rancangan lain termasuk mengurangkan penggunaan air mentah menerusi loji rawatan air dwifungsi, sistem penuaian air hujan dan peranti penjimatan air dan pengurangan sisa atau sampah-sarap menerusi kaedah kitar semula, penguraian dan kompos.
Kita juga mengambil kira berkenaan kemungkinan berlaku peningkatan paras air laut antara 0.29 meter dan 1.1 meter menjelang hujung abad ini seperti yang dilaporkan dalam Laporan Khas Mengenai Lautan dan Kriosfera oleh IPCC pada 2019. Sehubungan itu, platform PSI akan dibina dengan ketinggian minimum 3m dari paras laut bagi kawasan perimeter sehingga 5m bagi kawasan lain. Kawasan penampan pesisiran pantai dengan kelebaran minimum 40 meter juga akan dibina sebagai persediaan jangka masa panjang untuk mendepani perubahan aras laut.

Dengan tekanan daripada NGO, adakah Pulau Pinang mampu meyakinkan Kerajaan Pusat dan pihak berkaitan lain untuk menyokong projek PSI ini?
Saya berkeyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berfikiran terbuka dalam isu melibatkan pembangunan dan ekonomi. PSI bukan isu baharu buat Anwar yang sebelum ini telah diberi penerangan mengenainya di pejabat saya di Komtar pada Julai 2019. Beliau memahami Pulau Pinang merupakan negeri yang dinamik dan perlu terus berkembang maju.
Sebaik sahaja mengambil alih pentabdiran Kerajaan Pusat di Putrajaya, Anwar juga menekankan mengenai bagaimana untuk menangani isu kemiskinan dan ketidaksamaan, menarik semula keyakinan pelabur dan memacu peningkatan ekonomi. Kesemua ini juga adalah matlamat dan sasaran Pulau Pinang. Sebagai sebuah negeri industri yang lebih berkembang maju, Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab untuk menyokong pentadbiran Kerajaan Pusat baharu ke arah Malaysia yang lebih baik.
Pulau Pinang boleh melakukannya menerusi rancangan PSI. Limpahan ekonomi daripada projek PSI ini sangat besar.
Kajian Penilaian Impak Ekonomi PSI yang dijalankan oleh by Deloitte Tax Services Sdn. Bhd. pada 2021 misalnya menganggarkan PSI akan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion, menarik pelaburan asing (FDI) lebih RM70 bilion dan pendapatan keseluruhan kepada negara sebanyak RM226.5 bilion serta mewujudkan 460,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2050.
Jika kita gagal mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti, kita akan terus berdepan dengan masalah penghijrahan pekerja berkemahiran tinggi (brain drain). Pada 2022, kerajaan negeri telah melancarkan Creative Digital District dan Penang Internship Subsidy Programme sebagai usaha mengiktiraf dan mengekalkan pekerja-pekerja tempatan berkemahiran tinggi ini di Malaysia. PSI merupakan rancangan jangka masa panjang yang mana dengan persekitaran gaya hidup kampus yang ditawarkan dapat menggalakkan kerjasama antara pemain industri dan institusi pendidikan untuk membangunkan serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita sekali gus menambah nilai kepada sektor industri.
Saya juga percaya PSI akan menjadi projek contoh untuk seluruh negara. Projek ini menerima maklum balas yang cukup baik daripada pelbagai pihak seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak industri serta institusi pengajian tinggi yang melawat Penang Infrastructure Corporation dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai PSI, SIMP dan PEOM.

Bagaimana dengan perkembangan projek LRT Bayan Lepas, adakah Pulau Pinang akan terus meminta dana daripada Pusat untuk projek ini?
Kita sangat mengalu-alukan sokongan peruntukan daripada Kerajan Pusat memandangkan kita pernah mendapat jaminan pinjaman sebelum ini, namun dibatalkan oleh kerajaan terdahulu. Sejak itu, kita telah berusaha untuk mendapatkan pembiayaian hijau (green financing). Kita juga dalam proses untuk menawarkan permintaan untuk cadangan (RFP) bagi melantik syarikat pemaju.

PEMBANGUNAN PSI direka bentuk untuk mematuhi prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) bagi menjamin pertumbuhan sosioekonomi dan kebolehhidupan yang lestari pada masa depan.

Apa pandangan berkenaan bantahan daripada pihak tertentu termasuk parti politik seperti Gerakan terhadap projek PTMP?
Mereka bebas untuk menyatakan pandangan atau bantahan. Bagi projek PSI misalnya, kita sudah banyak kali menjelaskan mengenai bantahan-bantahan yang disuarakan mereka. Seperti yang dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, tidak ada keperluan untuk PTMP dikaji semula dan pelaksanaan projek pengangkutan ini akan memberi kelebihan ketika kemelesetan ekonomi.
Ketika pihak-pihak ini terus membantah projek LRT, kebanyakan penduduk Pulau Pinang dan rakyat Malaysia menyokong projek ini sebagai langkah menangani masalah kesesakan lalu lintas. Projek ini mendapat sokongan lebih 97 peratus daripada 22,000 responden dalam tinjauan awam yang dilakukan pada 2019. Dalam pameran PTMP baru-baru ini juga, 88 peratus daripada 1,000 penduduk yang terlibat dalam tinjauan menyatakan mereka bersedia menggunakan LRT dan tidak akan memandu kenderaan sendiri sekiranya Pulau Pinang memiliki kemudahan pengangkutan awam tersebut.

Apa harapan terbesar YAB untuk Pulau Pinang pada 2023?
Melihat kepada ramalan kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun akan datang, harapan terbesar saya untuk Pulau Pinang adalah supaya kita dapat membangunkan projek-projek kritikal pengangkutan seperti PSI, LRT dan komponen-komponen projek di bawah PTMP. Ini bagi membolehkan Pulau Pinang mendepani cabaran kemelesetan ekonomi dan menjadi sebuah negeri yang berdaya tahan dan mampu didiami oleh setiap penduduk. – UTUSAN

The post PSI jana RM2.2 trilion untuk KDNK appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *