PETALING JAYA: Sebanyak 246 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) selaku peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima sumbangan sebanyak RM123,000 menerusi program bantuan pengajian dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi iaitu KPT-PTPTN Prihatin.

Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara one off dan akan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff berkata, program itu diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan dan meringankan beban kewangan pelajar.

“Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT.

“Jadikan bantuan ini sebagai pendorong atau motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh dan fokus kepada pembelajaran bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta mampu mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan.

Bagi melancarkan pelaksanaan program itu, PTPTN juga telah mengadakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat.

Penyampaian bantuan telah diadakan bermula 8 Oktober 2022 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan seterusnya akan ke kawasan-kawasan yang lain. – UTUSAN

The post PTPTN sumbang lebih RM100,000 kepada pelajar IPT B40 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *