KUALA KRAI: Pujukan Abot dan Rambai berjaya ‘menjinakkan’ seekor gajah jantan liar sekaligus memudahkan operasi pemindahan haiwan liar di Kampung Sungai Taku, Pasir Kelang, di sini hari ini meskipun  mengambil masa selama tiga jam.

Gajah jantan liar seberat dua tan yang berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun itu ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Khamis lalu selepas menceroboh kebun serta kediaman penduduk di kawasan berkenaan.

Pengarah Perhilitan negeri Mohd. Hafid Rohani berkata, operasi menangkap hidupan liar itu bermula pada Khamis lalu bagi mengelakkan kerugian berterusan dialami oleh penduduk setempat.

Menurutnya, pada masa sama ia bertujuan memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut berada dalam keadaan lebih baik sejurus gajah liar itu ditangkap.

“Gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 14 ekor.

“Alhamdulillah, operasi pemindahan itu telah disertai oleh kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Pahang dan Jabatan Perhilitan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hafid memberitahu gajah liar berkenaan akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negeri Royal Belum (TNRB), Perak.

Katanya, sebelum ini, pihaknya telah mengambil beberapa siri tindakan tembak halau bagi menghalau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil.

“Tindakan tangkap pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun penduduk berhampiran hutan simpan dan ia menjadi tarikan sumber makanan seperti tanaman pisang dan kelapa sawit kepada gajah liar untuk kembali ke kawasan berkenaan.

“Oleh itu, cadangan pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) merupakan langkah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun dan seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun. Bagaimanapun, pembinaan SPEG hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan ianya berfungsi dan efektif,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Hafid berkata, mengikut rekod pada tahun 2022, Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan telah menangkap serta memindahkan sejumlah 19 ekor gajah liar iaitu enam ekor di Jeli, Gua Musang (6) dan Kuala Krai (7).

“Kesemua gajah-gajah liar berkenaan telah dipindahkan ke habitat yang lebih selamat dan sesuai.-UTUSAN

 

 

The post Pujukan Abot dan Rambai berjaya ‘jinakkan’ gajah jantan liar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *