GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan bas percuma ‘Cat Bridge’ yang akan menghubungkan Bukit Mertajam dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan itu akan bermula 1 Januari ini dan dilaksanakan untuk mengoptimumkan jaringan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang khususnya dalam mengintegrasi kawasan pulau dengan seberang.

“Perkhidmatan Cat Bridge Bukit Mertajam (CT14) merangkumi laluan sejauh 26 kilometer akan bermula dari Summit Bukit Mertajam melalui Bandar Perda dan Jambatan Pulau Pinang dan terus menghala ke Terminal Bas Komtar.

“Laluan ini akan mula beroperasi pada 1 Januari nanti sebagai laluan percubaan terlebih dahulu selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyediakan inisiatif bas percuma di seluruh Pulau Pinang melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2021 lalu.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang telah meneruskan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma ke seluruh negeri ini pada setiap masa bagi tahun ini.

Menurut Zairil, sebanyak lima buah bas akan digunakan untuk pengoperasian laluan baharu tersebut.

“Purata masa perjalanan ke destinasi akhir dijangka mengambil masa selama 60 hingga 85 minit.

“Para penumpang boleh mengenalpasti laluan bas ini dengan wrapping bus berwarna merah iaitu Bukit Mertajam Bas Merah (BM) Ke Komtar,” katanya. – UTUSAN

The post Pulau Pinang perkenal bas percuma antara Bukit Mertajam dan Komtar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *