GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka untuk berunding dengan Selangor; Kedah; Kelantan; Terengganu dan Negeri Sembilan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan secara serentak.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, isu berkaitan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan PRN dijalankan itu akan diputuskan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Isu ini akan diserahkan kepada Majlis Pimpinan PH sebab ia juga melibatkan negeri-negeri PH iaitu Selangor; Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. 

”Negeri-negeri di bawah Pas dan Perikatan Nasional (PN) mungkin ada pertimbangan mereka.

“Kita terbuka dengan rundingan jika keenam-enam negeri setuju, maka boleh diadakan tarikh yang sama, tetapi terpulang kepada pimpinan PH dan PN untuk tentukannya,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH dan PN mengambil keputusan tidak membubarkan DUN di negeri yang dikuasai mereka  bagi membolehkan PRN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas alasan bagi menumpukan usaha membantu rakyat berdepan bencana banjir yang diramal berlaku.

Menurut Kon Yeow, tempoh tamat DUN Pulau Pinang mengikut Perlembagaan negeri adalah lima tahun bermula dari tarikh pertama DUN bersidang selepas PRU14 iaitu pada 9 Mei 2018.

“Setiap negeri ada mesyuarat pada tarikh yang berbeza, bagi Pulau Pinang mesyuarat pertama kita adalah pada 3 Ogos 2018, jadi 2 Ogos (2023) adalah tarikh akhir.

“Kalau kita tidak bubarkan DUN, ia akan terbubar dengan sendiri sebab sudah genap lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, beliau juga akan membawa isu berkaitan tempoh pembubaran DUN Pulau Pinang  kepada Majlis Pimpinan PH.

“Saya akan bawa kepada pimpinan PH untuk timbangkan tempoh sesuai, mungkin awal Mei, Jun atau Julai (tahun depan),” katanya. – UTUSAN

 

The post Pulau Pinang terbuka runding PRN diadakan serentak  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *