PETALING JAYA: Pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail Sdn. Bhd. belum mengenal pasti punca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC pada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. 

Menurut kenyataan Rapid Rail, ini kerana gangguan tersebut yang mengakibatkan kehilangan isyarat  antara pusat kawalan dan juga tren menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

“Pihak Rapid Rail dibantu  satu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada sedang mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada.

“Selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan dan sesi ujian, perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park digantung tujuh hari bermula pukul 6 pagi hari ini.

“Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Lembah Subang ke Stesen LRT Putra Heights.

“Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja-kerja rektifikasi dan baik pulih,” kata kenyataan itu  hari ini. 

Jelas  Rapid Rail lagi, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah rumit itu dalam masa yang singkat. 

Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen yang terjejas.

“Segala kesulitan ekoran kejadian adalah amat dikesali. Untuk perkembangan status perkhidmatan terkini serta maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, sila rujuk kepada saluran media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE,” katanya.- UTUSAN 

The post Punca gangguan LRT Laluan Kelana Jaya masih disiasat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *